RAZALI (tengah) menunjukkan pakaian yang digunakan oleh suspek ketika melakukan samun di stesen minyak di Seri Kembangan, Serdang pada 30 November lalu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
RAZALI (tengah) menunjukkan pakaian yang digunakan oleh suspek ketika melakukan samun di stesen minyak di Seri Kembangan, Serdang pada 30 November lalu. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Kebodohan penjenayah 'Geng Kecik' gemar menggunakan pakaian sama ketika melakukan jenayah samun memudahkan polis mengesan sebelum memberkas semua mereka baru-baru ini.

Kegiatan suspek sejak 10 bulan lalu terbongkar selepas mereka ditahan dalam dua serbuan berasingan di Balakong dan Saujana Utama di sini, pada 1 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya menerima laporan dibuat seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun memaklumkan disamun dua lelaki menaiki motosikal di sebuah stesen minyak di Seri Kembangan, 30 November lalu.

"Dalam kejadian itu, dua suspek meragut rantai dipakai mangsa sebelum melarikan diri menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM3,000.

"Susulan laporan itu, kami meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berkenaan dan mendapati nombor pendaftaran motosikal suspek adalah palsu.

"Hasil risikan terhadap kediaman di Saujana Utama, kami mendapati terdapat dua suspek memakai pakaian menyerupai penjenayah dirakam CCTV di stesen mintak sebelum ini," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, di sini, tadi.

Razali berkata, pihaknya menahan dua lelaki itu sebelum menahan seorang lagi lelaki di Balakong di sini, pada 1 Januari lalu.

"Dalam serbuan itu, kami merampas beberapa telefon bimbit, satu rantai emas dipercayai diragut di Seri Kembangan, pakaian, komputer riba, kamera dan tiga motosikal membabitkan satu motosikal milik salah seorang suspek serta dua motosikal curi dianggarkan bernilai RM30,000.

"Modus operandi kumpulan itu adalah melakukan samun dengan menaiki motosikal secara solo mahupun berpasangan. Malah, mereka akan menggunakan pakaian sama ketika melakukan kegiatan itu," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati seorang daripada tiga suspek berkenaan mempunyai rekod jenayah berkaitan samun serta curi selain kes dadah.

"Semua suspek direman selama 10 hari dan reman akan disambung semula untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, Razali berkata, sebanyak 100 diterima pihaknya membabitkan kes samun bagi tempoh sepanjang tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, kami berjaya menyelesaikan 66 kes dengan 82 tangkapan, manakala pada tahun ini pula (1 hingga 10 Januari lalu), empat kes dilaporkan.

"Kami memandang serius untuk membanteras kegiatan ini bagi menghilangkan kegusaran orang ramai yang bimbang akan keselamatan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 5:49 PM