Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Pura-pura bersenam di kawasan kediaman adalah modus operandi yang digunakan Geng Kin yang aktif melakukan pecah rumah di sekitar daerah ini, Petaling Jaya dan Brickfields, Kuala Lumpur sejak tiga bulan lalu.

Taktik itu terbongkar selepas tiga ahli geng itu termasuk seorang wanita ditahan polis sebaik selesai memecah masuk sebuah apartmen di Seri Kembangan di sini, 19 November lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang pengawal keselamatan memaklumkan rumah seorang penghuni di apartmen berkenaan dipecah masuk oleh beberapa individu jam 12 tengah hari.

Katanya, pengawal keselamatan itu dimaklumkan oleh seorang penghuni apartmen terbabit yang meminta bantuan selepas rumahnya dimasuki dua individu tidak dikenali.

"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di apartmen berkenaan, terdapat sebuah kereta mencurigakan masuk ke kawasan itu yang dipercayai digunakan suspek.

"Pengawal keselamatan terbabit bersama anak saudaranya cuba menahan kereta itu ketika keluar, namun kenderaan itu memecut dan merempuh palang di pondok keselamatan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini, hari ini.

RAZALI pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang. FOTO HAZREEN MOHAMAD
RAZALI pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang. FOTO HAZREEN MOHAMAD

Razali berkata, pengawal keselamatan menghubungi polis sebelum anggota polis yang berada di lapangan memberkas dua suspek masing-masing berusia 44 dan 52 tahun selepas kenderaan mereka ditahan tidak jauh dari apartmen berkenaan.

Menurutnya, susulan tangkapan itu, polis menahan seorang wanita berusia 41 tahun di Taman Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari yang sama.

"Dalam tangkapan itu, kami merampas dua kereta, pelbagai peralatan pecah rumah, beberapa barang antik serta barangan lain dianggarkan bernilai RM10,000.

"Siasatan awal mendapati modus operandi geng itu adalah mensasarkan rumah yang pernah disewa mereka dengan memakai pakaian sukan dan berpura-pura bersenam di kawasan kediaman berkenaan pada siang hari.

"Setiap ahli mempunyai peranan masing-masing iaitu memecah masuk rumah, memantau keadaan sekeliling serta menunggu di dalam kenderaan," katanya.

Beliau berkata, hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

"Semakan juga mendapati semua suspek memiliki antara lima hingga 14 rekod jenayah dan dadah.

"Susulan penahanan tiga suspek warga tempatan itu, kami percaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah di daerah ini, Petaling Jaya dan Brickfields yang disyaki didalangi kumpulan berkenaan.

"Semua suspek terbabit direman sehingga 2 Disember ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 3:56 PM