Nurul Hidayah Bahaudin


Serdang: Polis menumpaskan Geng Yong yang dipercayai bertanggungjawab melakukan sekurang-kurangnya 30 pecah kedai di daerah ini, Petaling Jaya, Kajang dan Brickfields, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, suspek ditahan dalam serbuan berasingan di Taman Bukit Serdang di sini,

Katanya, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengurus kedai serbaneka di Bandar Puteri Puchong yang dipecah masuk pada 16 November lalu.

"Kejadian itu disedari pengadu kira-kira jam 9 pagi selepas mendapati pintu kedai berkenaan dalam keadaan terbuka.

"Hasil pemeriksaan, pengadu mendapati beberapa barangan di dalam premis terbabit hilang iaitu dua laci wang mesin serta wang tunai berjumlah RM2,094," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang di sini, hari ini.

Razali berkata, susulan siasatan yang dilakukan, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun di sebuah rumah di Taman Bukit Serdang jam 9 malam Ahad lalu.

RAZALI menunjukkan barang yang dirampas hasil tangkapan Geng Yong. FOTO HALIM SALLEH
RAZALI menunjukkan barang yang dirampas hasil tangkapan Geng Yong. FOTO HALIM SALLEH

"Hasil soal siasat, kami menahan tiga lagi lelaki tempatan berusia antara 30 hingga 40 tahun di sebuah pangsapuri di Taman Bukit Serdang.

"Dalam serbuan itu, kami merampas pelbagai peralatan pecah rumah, empat telefon bimbit pelbagai jenama, tiga karburator motosikal, tiga sarung tangan dan satu topeng ski.

"Kami turut merampas 53 botol minuman keras pelbagai jenama, dua pedang, satu pisau, dua decoder rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dua pemain cakera padat digital (DVD), sebuah televisyen dan dua motosikal yang dipercayai digunakan untuk kegiatan terbabit," katanya.

Menurutnya, kumpulan berkenaan dipercayai aktif sejak tiga bulan lalu dengan menggunakan nombor pendaftaran palsu pada motosikal mereka.

"Modus operandi kumpulan ini adalah mensasarkan antara tiga hingga enam premis terdiri daripada restoran dan kafe dalam satu kawasan.

"Suspek memotong kunci di pintu hadapan untuk masuk ke dalam premis sebelum melarikan barangan seperti peti simpanan tunai, mesin wang dan barangan berharga," katanya.

Beliau berkata, semakan mendapati seorang daripada empat suspek yang ditahan mempunyai 28 rekod jenayah lampau dan empat rekod narkotik.

"Hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan mendapati semua suspek positif dadah jenis methamphetamine," katanya.

Katanya, hasil tangkapan itu, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan 30 kes pecah kedai di sekitar daerah ini, Petaling Jaya, Kajang dan Brickfields.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 3:33 PM