Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Serdang: Mayat lelaki warga emas ditemui di dalam sebuah kereta di kawasan parkir di Jalan Merak Puchong Jaya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada kakitangan Hospital Serdang pada 8.15 malam.

"Sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang dan kakitangan perubatan berada di lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan membabitkan kejadian berkenaan berdasarkan pemeriksaan dilakukan pada badan mangsa berusia 60-an itu tidak menemui sebarang kecederaan.

"Kami tidak menemui sebarang objek atau peralatan yang boleh mengakibatkan kecederaan," katanya.

Razali berkata, mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk saringan Covid-19 sebelum proses bedah siasat dilakukan.

"Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 8:58 AM