RAZALI (kanan) menjalankan pemeriksaan di sebuah premis judi di Seri Kembangan. FOTO ihsan polis
RAZALI (kanan) menjalankan pemeriksaan di sebuah premis judi di Seri Kembangan. FOTO ihsan polis
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Serdang: Tidak sampai lapan jam beroperasi, sebuah kedai judi di Seri Kembangan, di sini, diserbu polis malam ini.

Serbuan dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang jam 9 malam diketuai Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Razali Abu.

Difahamkan, premis judi berkenaan baru memulakan operasi jam 4 petang tadi.

Razali berkata, dalam serbuan itu, seorang lelaki yang juga penjaga premis bersama lapan pelanggan masing-masing lima lelaki dan tiga wanita ditahan.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut juga merampas komputer riba yang dipercayai menjalankan kegiatan perjudian atas talian.

"Premis ini baru saja beroperasi dan hasil risikan kemudian membawa kepada penahanan suspek.

"Premis ini menawarkan aktiviti judi seperti Roulette kepada pelanggan sekitar Seri Kembangan," katanya malam ini.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke IPD Serdang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (C) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2020 @ 11:22 PM