GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ekhwan Haque Fazlul Haque
ekhwan@hmetro.com.my


KERAJAAN masih boleh memberikan ruang yang minimum kepada pengusaha kedai gunting rambut dengan mengenakan syarat yang ketat dari segi kebersihan dan kesihatan.

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia T N Winda Mohd Tahir berkata, pihaknya menghormati penarikan semula kebenaran operasi oleh kerajaan hari ini selepas mengambil kira pandangan masyarakat.

Menurutnya, kerajaan harus meneliti prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat sekiranya membenarkan kedai gunting beroperasi bagi menghalang penularan Covid-19.

Beliau berkata, penarikan semula kebenaran itu mungkin juga menyebabkan ada penggunting rambut yang menjalankan operasi dari rumah ke rumah secara senyap.

“Kerajaan boleh beri ruang untuk kedai gunting beroperasi dengan SOP lebih ketat dari segi kebersihan dan keselamatan antara tukang gunting dan pelanggan.

“Dikhuatiri ada tukang gunting yang beroperasi secara senyap dan tidak mematuhi amalan kebersihan dan kesihatan yang sepatutnya. Penguat kuasaan perlu lebih tegas untuk pastikan perkara ini tidak berlaku,” katanya ketika dihubungi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan kedai gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keputusan itu dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengambil kira pandangan pakar, badan bukan kerajaan dan keluhan rakyat.

Dalam pada itu, Pengurus Tacob’s Barbershop, Muhammad Nurhilmi Mohd Sobri berkata, dia menyambut baik keputusan kerajaan untuk memastikan rantaian pandemik ini berjaya diputuskan.

“Walaupun perlu menunggu sehingga tempoh PKP selesai, saya yakin keputusan ini adalah yang terbaik untuk jangka masa panjang.

“Soal kebajikan dan kesihatan pekerja menjadi keutamaan namun bernasib baik kerana pekerja menerima bantuan kerajaan menerusi Program Subsidi Upah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso),” katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 April 2020 @ 5:17 PM