Ahmad Hasbi


Seremban: Seramai 6,384 pengusaha kedai gunting rambut di seluruh negara sudah gulung tikar akibat terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA), TN Winda Mohd Tahir berkata, kemungkinan besar angka itu akan bertambah jika tiada kelonggaran diberikan untuk perkhidmatan berkenaan.

"Berdasarkan data yang saya dapat, seramai 21,820 pengusaha termasuk ahli MBBA di seluruh negara masih lagi bertahan, namun memerlukan bantuan. Bagaimanapun, kemungkinan besar mereka juga akan mengalami nasib sama.

"Kos terbesar yang mereka terpaksa tanggung setiap bulan adalah sewa premis yang mencecah RM25,000 sebulan bagi sesetengah lokasi seperti di dalam pasar raya besar," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, MBBA bersama beberapa lagi persatuan penggunting rambut dan salun akan menghantar satu petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat bagi memohon pertimbangan membenarkan sektor ini beroperasi semula.

"Sejak pelaksanaan PKP, kami beberapa kali mengemukakan surat permohonan rayuan dan cadangan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya sektor ini dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Malangnya masih tiada jawapan.

FOTO HIASAN
FOTO HIASAN

"Petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong adalah ikhtiar terakhir yang kami ada, harap pihak kerajaan mendengar dan memberikan kebenaran kami beroperasi semula segera," katanya.

Sementara itu, pemilik kedai gunting rambut di Port Dickson, Mohd Fareez Zabidi, 32, berkata, dia terpaksa menutup terus operasi kedainya kerana tidak dapat menanggung kos sewa bulanan sebanyak RM2,300 dan terpaksa menjual burger untuk menyara kehidupan.

"Pendapatan kami mula terjejas sejak Februari lalu kerana pelaksanaan PKP. Selepas beberapa bulan tidak dapat beroperasi, saya terpaksa menutup terus kedai itu pada Julai lalu.

"Memandangkan kontrak sewa kedai belum tamat, deposit sewa sebanyak RM11,000 hangus begitu sahaja. Saya terpaksa menjual sebahagian daripada peralatan di dalam kedai untuk mendapatkan kembali sedikit modal," katanya.

Mohd Fareez berkata, tiga pekerjanya terpaksa berhenti dan mencari pekerjaan lain demi meneruskan kehidupan memandangkan perkhidmatan gunting rambut memang tidak dapat beroperasi.

"Sementara, saya pula mencari alternatif membuka gerai burger di hadapan sebuah lagi kedai gunting rambut milik saya di Setia Alam. Saya beroperasi dari pagi hingga malam demi mencari pendapatan bagi mempertahankan kedai di Setia Alam ini," kata pemilik Black Gold Barbershop Port Dickson itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Ogos 2021 @ 2:48 PM