FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Yusmizal Dolah Aling


"ALHAMDULILLAH, terima kasih kepada kerajaan kerana mendengar keluhan. Kami akan melakukan yang terbaik untuk semua," kata Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA) TN Winda Mohd Tahir.

Katanya, kebenaran untuk memulakan operasi 10 Jun yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melegakan 450 ahlinya yang bergantung sepenuhnya kepada perniagaan itu sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, pihaknya akan memastikan semua Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan dipatuhi sebaik mungkin demi kebaikan bersama.

Buat masa ini kami di peringkat gabungan penggunting dan jurugaya rambut serta yang mengusahakan dandanan serta solekan akan mengenai keperluan beroperasi mengikut norma baharu.

Ia seperti penggunaan penghadang muka, sarung tangan serta apron pakai buang yang turut membabitkan kos tambahan kepada kami. Bagaimanapun, ia akan dilaksanakan sebaik mungkin," katanya kepada Harian Metro.

Kerajaan dalam mesyuarat harian PKP hari ini memberi kebenaran untuk kedai gunting rambut, dandanan dan solekan beroperasi bermula Rabu ini.

Ismail Sabri berkata, industri berkenaan menyumbang sebanyak RM13.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan ia adalah jumlah yang besar kepada negara.

Pengumuman berkenaan menamatkan penantian lebih 74,000 penggiat industri itu yang sebelum ini memohon kelonggaran kepada kerajaan untuk mereka beroperasi secara bersyarat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Jun 2020 @ 4:02 PM