Zuliaty Zulkiffli


BEKALAN minyak masak bersubsidi dalam paket satu kilogram (kg) di Kedah didapati berkurangan berikutan kuota diberikan kepada pemborong dan peniaga didakwa dikurangkan oleh pihak pembekal sejak sebulan lalu.

Tinjauan di Pasar Besar Alor Setar hari ini mendapati jualan minyak masak terbabit juga dihadkan kepada pelanggan.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima rungutan berkaitan kekurangan minyak masak berkenaan di negeri ini, dan percaya ia berpunca akibat jumlah kuota yang dikurangkan.

Katanya, berikutan masalah itu, peniaga terpaksa menjual minyak masak botol yang harganya lebih mahal selain tidak mendapat sambutan.

"Masalah ini membebankan pengguna terutama peniaga kecil kerana menggunakan minyak masak (paket) yang banyak, dan keadaan itu memungkinkan perniagaan mereka terpaksa ditutup sekiranya bekalan masih berkurangan.

"Ramai rakyat di negeri ini berpendapatan rendah dan menggunakan minyak masak paket kerana harganya lebih murah, tetapi apabila masalah (kekurangan bekalan) ini berlaku, mereka terpaksa menanggung beban," katanya ditemui selepas melakukan pemeriksaan bekalan minyak masak di Pasar Besar Alor Setar.

Menurutnya, keadaan itu dikesan berlaku sekitar Kota Setar, Kuala Kedah, Kubang Pasu dan Pendang.

Katanya, pihaknya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya dan menjalankan siasatan untuk mengatasi masalah itu.

"Sebelum ini minyak masak paket diterima oleh peniaga antara 30 hingga 50 kg seminggu, tetapi kini dikurangkan kepada 20 hingga 25 kg sahaja bagi tempoh sama

"Kita juga berharap peniaga tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga sesuka hati berikutan kekurangan bekalan minyak masak subsidi ini," katanya.

PENIAGA meletakkan notis memaklumkan kehabisan bekalan minyak masak paket di Pasar Besar Alor Setar, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam
PENIAGA meletakkan notis memaklumkan kehabisan bekalan minyak masak paket di Pasar Besar Alor Setar, hari ini. FOTO Sharul Hafiz Zam

Pengusaha kedai runcit Azizah Said, 60, berkata masalah sudah berlarutan sejak Disember lalu dan dia hanya memperoleh bekalan 20 hingga 30 paket minyak masak sahaja seminggu.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa mengutamakan mereka yang berniaga dan memerlukan minyak masak paket dalam jumlah banyak walaupun ada pelanggan lain berkecil hati kerana tidak dapat membeli.

"Biasanya pelanggan tidak mahu membeli minyak masak botol kerana harganya lebih mahal antara RM3.30 untuk 800 gram dan RM22 untuk lima liter berbanding dalam paket," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah Chin Ching Chung berkata, pihaknya belum menerima sebarang aduan berhubung isu kekurangan bekalan minyak masak paket berkenaan dan akan mengarahkan pegawainya untuk menjalankan pemeriksaan ke atas pembekal dan pemborong serta peruncit di negeri ini.

Beliau berkata, KPDNKK mempunyai senarai kuota penghantaran minyak masak paket oleh pembekal serta pemborong.

"Sejak semalam, anggota kami sudah membuat pemeriksaan dan akan berterusan di semua tempat di negeri ini.

"Namun, jika berlaku masalah kekurangan minyak masak berpaket ini, ia bukanlah disebabkan bekalan disorok dan siasatan akan dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 January 2018 @ 2:49 PM