Milatul Shamsul menunjukkan bekalan telur di kedainya di Pasar Besar di sini. Foto Noorazura Abdul Rahman
Milatul Shamsul menunjukkan bekalan telur di kedainya di Pasar Besar di sini. Foto Noorazura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kesukaran mendapat bekalan telur secara berterusan sejak pertengahan Disember lalu menyebabkan ramai pelanggan terutama pengusaha kedai makan terjejas.

Seorang peniaga telur di Pasar Besar di sini, Milatul Shamsul Mohd Fauzi, 36, berkata, walaupun mendapat rungutan daripada pelanggan namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana bekalan yang dihantar sangat terhad.

"Pembekal hanya hantar telur sekali atau dua kali sahaja seminggu.

"Bekalan yang dihantar pula terhad, dulu saya boleh ambil sehingga 40 papan tapi sekarang hanya separuh sahaja.

"Jadi saya terpaksa hadkan jualan kepada pelanggan, apabila stok sampai ia cepat habis dalam tempoh tidak sampai satu hari," katanya yang sudah lapan tahun berniaga di situ.

Milatul Shamsul berkata, bekalan minyak masak paket juga mengalami masalah sama dan turut menerima bekalan yang terhad.

"Apabila barang yang membabitkan subsidi, mesti ada masalah bekalan, kerajaan perlu lihat perkara ini hingga ke peringkat akar umbi, saya fikir kerajaan perlu mengambil langkah tegas untuk memastikan bekalannya mencukupi," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kerajaan diminta bertindak segera bagi memastikan bekalan barangan keperluan termasuk telur dan minyak masak paket mencukupi menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Katanya, ketika ini wujud kebimbangan terhadap bekalan kedua-dua barangan itu.

"Walaupun bekalan telur di pasar raya besar dilihat sudah kembali pulih, namun bekalan di kedai runcit masih meruncing.

"Pada musim cuti sekolah kali ini kita dapat lihat permintaan telur yang tinggi tetapi belum mencukupi di negeri ini walaupun kerajaan sudah membawa masuk telur import.

"Selepas cuti sekolah berakhi permintaan terhadap telur mungkin menurun tetapi dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi kita akan menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.

"Ketika ini permintaan sudah pasti meningkat dan kita berharap masalah ini dapat selesai secepat mungkin," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan harga dan bekalan barangan di Pasar Besar di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2023 @ 3:47 PM