Nur Izzati Mohamad

Kepala Batas: Dua lelaki yang menyamar anggota polis sebelum menyamun dan mencuri motosikal warga asing ditahan pada Op Cantas dan Lejang di Penaga di sini, 9 malam tadi.

Suspek berusia 28 dan 29 ditahan susulan laporan polis dibuat seorang lelaki warga Myanmar yang menjadi mangsa apabila motosikalnya dilarikan mereka.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian berlaku jam 12 tengah hari Selasa lalu apabila mangsa yang sedang makan di tepi bendang di Padang Tembusu, Penaga didatangi kedua-dua suspek yang menyamar anggota polis.

"Kedua-dua suspek kemudiannya meminta mangsa mengeluarkan dokumen pengenalan diri namun mangsa enggan.

"Seorang daripada suspek kemudiannya memukul tangan mangsa dengan kayu sebelum melarikan Yamaha 135LC mangsa bersama beberapa dokumen diletak dalam raga jentera itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di sini, hari ini.

Menurut beliau, kedua-dua suspek ditahan ketika menunggang motosikal itu.

Hasil siasatan awal, suspek mengaku melakukan samun serta curi motosikal dengan memfokuskan warga asing sebagai mangsa.

"Kedua-dua suspek adalah penagih dan melakukan kegiatan itu untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah," katanya.

Menurut Noorzainy, penahanan suspek membolehkan pihaknya menyelesaikan lima kes samun dan curi motosikal.

Kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 379A Kanun Keseksaan," katanya.

NOORZAINY (kiri) menunjukkan motosikal yang dirampas. FOTO Danial Saad
NOORZAINY (kiri) menunjukkan motosikal yang dirampas. FOTO Danial Saad

Dalam perkembangan lain, remaja lelaki berusia 19 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Perlis, Butterworth jam 8 malam tadi bagi membantu siasatan kes pecah masuk kediaman.

Noorzainy berkata, penahanan dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita warga emas yang memaklumkan rumahnya di Kampung Benggali, diceroboh seorang lelaki yang kemudiannya melarikan rantai emas, dua loket dan sebentuk cincinnya.

"Kejadian berlaku jam 4.30 petang kelmarin apabila mangsa keluar untuk memeriksa meter airnya.

"Apabila mangsa masuk semula ke rumahnya, dia terkejut mendapati ada seorang lelaki yang kemudiannya menolaknya sehingga terjatuh.

"Suspek turut menyamun barangan kemas dipakai mangsa sebelum melarikan diri," katanya.

Suspek yang juga penagih serta pengedar dadah mengaku terbabit dalam kejadian itu dan kini direman. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 3:58 PM