Audrey Dermawan


Georgetown: Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah jenis syabu dari negara jiran dan menahan lima individu dalam empat serbuan berasingan di sekitar negeri ini pada Rabu dan Khamis lalu.

Dalam operasi itu, polis turut merampas 263.7 kilogram (kg) syabu yang dianggarkan bernilai hampir RM9.5 juta.

Turut dirampas, empat kenderaan bernilai RM104,000, wang tunai berjumlah RM30,950 dan barang kemas bernilai RM52,000 dengan jumlah keseluruhan rampasan dan sitaan mencecah RM9.67 juta.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, kegiatan itu terbongkar selepas Pasukan Polis Marin (PPM) yang menjalankan rondaan Op Benteng di perairan Teluk Tempoyak di sini, menahan sebuah bot fiber dinaiki dua lelaki warga asing pada 6.30 petang Rabu lalu.

"Kedua-dua lelaki berusia 29 dan 33 tahun itu didapati berasal dari Acheh, Indonesia dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah sebelum mereka ditahan serta diserahkan kepada Unit Risikan PPM untuk tindakan lanjut.

"Hasil soal siasat ke atas mereka membawa kepada serbuan di sebuah pondok nelayan yang tidak bernombor dan jeti haram di tebing Sungai Keluang, Bayan Lepas," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan pada 4 pagi Khamis oleh pasukan PPM Wilayah 1 Batu Uban itu, seorang lelaki tempatan yang juga penganggur berusia 55 tahun ditahan.

"Hasil pemeriksaan terhadap sebuah bot fiber yang diikat di belakang pondok di jeti itu membawa kepada penemuan 130 bungkusan plastik warna keemasan dipercayai mengandungi dadah jenis syabu.

"Pasukan itu kemudiannya memeriksa sebuah kereta Mazda yang diletakkan di tepi pondok dan menemui 115 lagi bungkusan plastik berwarna keemasan dipercayai mengandungi syabu di ruang antara tempat duduk belakang dan but kereta yang diubah suai," katanya.

Sahabudin berkata, hasil soal siasat terhadap suspek kemudiannya membawa pula kepada penahanan seorang nelayan tempatan berusia 54 tahun di Sungai Ara, Bayan Lepas serta seorang lelaki berusia 57 tahun yang juga pemilik sebuah bengkel membaiki bot di Juru dekat Bukit Mertajam.

"Kita percayai suspek warga Indonesia berusia 33 tahun dan nelayan tempatan yang ditahan itu adalah dalang utama kegiatan sindiket itu.

"Dadah itu dipercayai dibawa masuk dari Thailand melalui perairan negeri ini sebelum diseludup keluar untuk pasaran di Acheh," katanya.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati sindiket terbabit aktif melakukan urusan jual beli dadah di perairan itu sejak Disember lalu.

"Kita tidak menolak kemungkinan sindiket memilih jalan laut sebagai laluan penghantaran dadah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan pergerakan di darat agak terhad.

"Kita percaya dengan tangkapan ini polis berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah yang menjadikan negara ini sebagai lokasi transit bahan terlarang itu sebelum diseludup ke negara jiran," katanya.

ANTARA 245 bungkusan plastik keemasan berisi dadah jenis Syabu yang dirampas. FOTO Danial Saad
ANTARA 245 bungkusan plastik keemasan berisi dadah jenis Syabu yang dirampas. FOTO Danial Saad

Sahabudin berkata, dua suspek warga tempatan iaitu penganggur dan dalang utama didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphethamine serta mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah.

Menurutnya, kesemua suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2021 @ 5:10 PM