NICO Rosberg. FOTO AFP
NICO Rosberg. FOTO AFP
Agensi

London: Nico Rosberg percaya bahawa adalah terlalu awal bagi bos Mercedes, Toto Wolff menentukan sama ada Andrea Kimi Antonelli bersedia melangkah ke saingan Formula Satu (F1).

Protege Mercedes, Antonelli, difahamkan menjadi pilihan utama Silver Arrows untuk menggantikan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, yang akan berpindah ke Ferrari pada tahun 2025.

Pemandu Itali berusia 17 tahun itu bersaing dalam musim pertamanya di F2 tahun ini bersama pasukan Prema, tetapi juara dunia 2016, Rosberg menggesa Mercedes memikirkan sebaik-baiknya sebelum membuat keputusan muktamad.

"Antonelli pastinya bintang masa depan tetapi malangnya dari segi masa, ia terlalu awal untuknya, dan terlalu awal untuk Toto membuat keputusan mengenai Antonelli," kata Rosberg kepada Sky Sports F1.

"Toto perlu menunggu sehingga hujung tahun ini untuk melihat pencapaian Antonelli di F2 kerana dia memerlukan musim yang benar-benar kompetitif sekiranya mahu terus beraksi bersama Mercedes.

"Jika tidak, pasukan seperti Williams atau pasukan lain lebih sesuai untuk Antonelli," katanya lagi.

Pada Grand Prix Miami, pasukan yang tidak didedahkan dikatakan mengemukakan permohonan kepada FIA agar Antonelli diberikan lesen super sebelum dia mencapai usia 18 tahun pada Ogos depan.

Ini mencetuskan khabar angin bahawa Mercedes sedang berusaha mempercepatkan proses Antonelli ke F1 bersama pasukan yang menggunakan jentera sama, Williams, dengan memberi peluangnya beraksi seawal Grand Prix Emilia Romagna hujung minggu ini.

Tetapi prinsipal pasukan Williams, James Vowles menafikan bahawa Logan Sargeant akan digantikan di Imola.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2024 @ 9:22 AM