Ahmad Hasbi


Seremban: Penyelia Rancangan Tanah Felda dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan menggunakan jawatannya dengan menyeleweng wang bayaran kepada peneroka untuk dirinya, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Shahidi Ammar Abd Aziz, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Menurut pertuduhan pertama, lelaki itu sebagai pegawai badan awam iaitu Penyelia Rancangan Tanah (G19) selaku Pegawai Pembayar di Pejabat Felda Pasoh 1, di Jelebu, menggunakan jawatannya itu berkait pelaksanaan pembayaran Bayaran Tunai Pendahuluan Tunai (PT) 09/2020 kepada 11 peneroka Felda terbabit untuk mendapatkan suapan untuknya sendiri.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh melakukan kesalahan sama bagi Bayaran Tunai Paysheet (PS) 09/2020 kepada 14 peneroka Felda sama.

Kedua-dua kesalahan dilakukan di Pejabat Felda Pasoh 1, pada September dan Oktober 2020.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohamad Azriff Firdaus Mohammad meminta mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan dan syarat tambahan iaitu melaporkan diri setiap bulan di Pejabat SPRM Seremban.

Shahidi Ammar yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah supaya menetapkan ikat jamin yang rendah memandangkan dia kini diisytiharkan muflis selain perlu menanggung seorang isteri dan enam anak yang masih kecil.

Mahkamah kemudiannya memutuskan jaminan sebanyak RM5,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan syarat tambahan perlu melapor diri pada Sabtu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Hakim turut menetapkan tarikh 24 Ogos bagi sebutan semula dan lantikan peguam.

SHAHIDI Ammar ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini. FOTO Azrul Edham.
SHAHIDI Ammar ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini. FOTO Azrul Edham.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Julai 2023 @ 11:38 AM