GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nor Farhani Che Ad


TIGA lelaki daripada Geng Biawak ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian samun lelaki sehingga menyebabkan kecederaan berdekatan Taman Bistari, Kulim, semalam.

Suspek berusia 20 hingga 23 tahun itu ditahan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim antara 3 pagi hingga 3.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superitendan Azhar Hashim berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa berusia 26 tahun bersendirian di lokasi kejadian, kira-kira 10 malam.

"Ketika itu, mangsa dikatakan didatangi dua motosikal dinaiki empat lelaki.

"Salah seorangnya dikatakan memukul kepala dan badan mangsa menggunakan topi keledar manakala seorang lagi memijak serta memukul mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, ketika mangsa dipukul, seorang daripada suspek mengambil dompet dan telefon bimbit mangsa sebelum mereka melarikan diri.

Beliau berkata, akibat kejadian itu, mangsa cedera di kepala, mata, kening dan hidung serta calar dan lebam di anggota badan.

"Mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil dan polis masih memburu seorang lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kes ini," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Jun 2020 @ 5:01 PM