KEADAAN banjir di Johor makin pulih,
KEADAAN banjir di Johor makin pulih,
Oleh Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di Johor terus menurun kepada seramai 3,182 orang setakat jam 4 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata, jumlah itu membabitkan 807 keluarga yang ditempatkan di 26 pusat pemindahan sementara (PPS) di enam daerah terjejas.

Katanya, jumlah itu berkurangan berbanding 3,560 orang daripada 902 keluarga yang ditempatkan di 31 PPS, jam 12 tengah hari tadi.

"Enam PPS lagi yang tutup pada petang ini, meliputi tiga daerah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Linau, Simpang Renggam dan Dewan Ithnin Maarof di Kluang, selain SK Gembut, SK Tun Dr Syed Nasir serta SK Bukit Lintang di Kota Tinggi, manakala SK Sri Bulan pula di Batu Pahat.

"Bagaimanapun, Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 1,793 orang daripada 451 keluarga yang ditempatkan di 14 PPS seluruh daerah itu, berbanding 2,126 orang daripada 534 keluarga pada jam 12 tengah hari tadi.

"Kluang mencatatkan penurunan dengan 858 orang daripada 210 keluarga ditempatkan di empat PPS, manakala Johor Bahru masih menempatkan 72 orang daripada 24 keluarga di sebuah PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, Batu Pahat juga menurun dengan hanya 63 orang daripada 16 keluarga ditempatkan di sebuah PPS, namun Mersing meningkat sedikit dengan 307 orang daripada 82 keluarga di empat PPS, berbanding hanya 292 orang daripada 77 keluarga di daerah berkenaan

Katanya, hari keenam banjir melanda Johor turut menyaksikan Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi dan Jalan Haji Suhud, di Johor Bahru masih ditutup.

"Tiada laporan korban banjir terbaharu dilaporkan menjadikan angka kematian kekal tiga individu berusia lingkungan 20 hingga 61 tahun bagi kes di Kluang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 5:46 PM