KEADAAN air Sungai Johor melimpah ke pusat bandar Kota Tinggi sejak tengah hari semalam. FOTO BERNAMA
KEADAAN air Sungai Johor melimpah ke pusat bandar Kota Tinggi sejak tengah hari semalam. FOTO BERNAMA
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Mangsa banjir di negeri ini meningkat mendadak kepada 7,112 orang daripada 1,854 keluarga yang ditempatkan di 68 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah, setakat 8 pagi ini.

Ia berbanding hanya 6,391 orang mangsa daripada 1,641 keluarga, malam tadi.

Pengerusi Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, dua daerah paling terjejas banjir ini adalah Kluang dan Kota Tinggi dengan lebih 2,000 penduduk ditempatkan di 39 PPS.

Katanya, mangsa banjir Kluang membabitkan seramai 2,527 orang daripada 691 keluarga di 19 PPS pagi ini, berbanding 2,533 orang daripada 694 keluarga, malam tadi.

"Kota Tinggi pula merekodkan peningkatan mendadak mangsa banjir kepada seramai 2,029 daripada 514 keluarga di 20 PPS berbanding hanya hanya 1,470 orang daripada 341 keluarga, malam tadi.

"Mangsa banjir Johor Bahru pula menurun kepada 1,279 orang daripada 313 keluarga di 10 PPS berbanding seramai 1,432 daripada 350 keluarga, malam tadi.

"Kulai kekal dengan 581 mangsa daripada 156 keluarga di lima PPS, manakala Mersing pula meningkat mendadak kepada 513 mangsa daripada 132 keluarga di enam PPS berbanding hanya 311 orang daripada 82 keluarga, malam tadi.

"Mangsa banjir di Pontian juga meningkat mendadak kepada 347 orang daripada 12 keluarga di tiga PPS berbanding hanya 23 orang daripada lima keluarga, malam tadi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Banjir di Johor yang masuk hari keempat itu dijangka makin buruk berikutan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, yang mengeluarkan amaran jingga atau hujan lebat berterusan di Kluang dan Segamat.

Amaran kuning atau hujan lebat turut dikeluarkan terhadap Johor Bahru, Kota Tinggi, Kulai, Pontian, Muar dan Tangkak.

Mengulas lanjut, Vidyananthan berkata, Batu Pahat juga merekodkan peningkatan mangsa banjir mendadak kepada 71 orang daripada 22 keluarga di dua PPS pagi ini, berbanding hanya 36 mangsa banjir daripada 14 keluarga, malam tadi.

"Segamat yang menjadi daerah kelapan dan terbaharu terjejas dalam banjir di negeri ini, turut merekodkan peningkatan mangsa banjir mendadak kepada 65 orang daripada 17 mangsa di tiga PPS pagi ini berbanding hanya lima mangsa daripada dua keluarga, malam tadi, " katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 9:36 AM