PENIAGA kedai baju dan kain di Kota Tinggi, Fauziah Salleh menyidai baju yang dicuci selepas tenggelam dalam banjir. FOTO Zain Ahmed.
PENIAGA kedai baju dan kain di Kota Tinggi, Fauziah Salleh menyidai baju yang dicuci selepas tenggelam dalam banjir. FOTO Zain Ahmed.
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Johor berkurangan kepada 1,422 orang setakat 8 pagi ini, berbanding 2,260 orang, semalam.

Mangsa membabitkan 363 keluarga yang ditempatkan di 16 PPS di lima daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, lima PPS daripada keseluruhan 21 PPS yang diaktifkan sehingga semalam, sudah ditutup, manakala banjir di Batu Pahat pulih selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

"Lima PPS yang sudah ditutup malam tadi meliputi daerah Batu Pahat iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yong Peng, selain empat lagi di Kota Tinggi - PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Jaya; SK Mawai; SMK Taman Kota Jaya dan Sekolah Menengah Agama (SMA) Taman Kota Jaya.

"Banjir Kota Tinggi bertambah baik dengan hanya tinggal 223 orang daripada 59 keluarga ditempatkan di lima PPS, pagi ini, berbanding 1,048 orang daripada 246 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS semalam.

"Bagaimanapun, setakat ini, Kluang mencatatkan jumlah mangsa yang ramai dengan 688 orang daripada 163 keluarga di tiga PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Vidyananthan berkata, Mersing pula terus menunjukkan peningkatan jumlah mangsa dengan lima PPS menempatkan 350 orang daripada 93 keluarga, berbanding 346 orang (90 keluarfga), semalam.

Katanya, Johor Bahru kekal dengan 72 mangsa (24 keluarga) dan Segamat 89 mangsa (24 keluarga) masing-masing di satu dan dua PPS.

"Laluan yang masih ditutup untuk semua kenderaan adalah Jalan Haji Suhud di Johor Bahru dan Jalan Tanah Abang di Mersing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 8:57 AM