NOR Afandi   mengemaskan runtuhan tembok penahan ombak dan anjung chalet milik ibu dan kakaknya di Kampung Pengkalan Balak, dekat Alor Gajah.
NOR Afandi mengemaskan runtuhan tembok penahan ombak dan anjung chalet milik ibu dan kakaknya di Kampung Pengkalan Balak, dekat Alor Gajah.
Oleh Hassan Omar


TENGKUJUH yang melanda sejak awal bulan ini membawa khabar duka bagi Nor Afandi Abu Bakar, 54, apabila 17 unit chalet diusahakan keluarganya di pantai peranginan Pengkalan Balak, dekat ini, tidak dapat beroperasi akibat runtuhan tembok dan anjung chalet.

Katanya, dia terpaksa menerima hakikat cuti persekolahan kali ini tidak sama dengan tahun lalu selepas sebahagian lagi tembok penahan ombak dan anjung di chalet milik ibu, Tijah Mydin, 76, dan kakaknya, Noraini, 56, runtuh akibat ombak besar dan hujan lebat, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, baki tembok dan anjung berkenaan yang masih utuh selepas sebahagiannya runtuh pada hujung bulan lalu, tiba-tiba roboh akibat dibadai ombak besar ketika hujan lebat.

Katanya, jika cuti persekolahan sebelum ini menyaksikan 17 unit chalet berkenaan menerima tempahan penuh, kali ini nasib mereka berbeza sama sekali kerana tiada chalet yang boleh disewakan kepada tetamu.

“Walaupun keadaan chalet masih sempurna kerana agak jauh dari tembok dan anjung, kami tidak mahu menanggung risiko ada tetamu terjatuh ke dalam lubang atau dihempap runtuhan batu.

MNOR Afandi menunjukkan sisa runtuhan tembok penahan ombak. FOTO/HASSAN OMAR
MNOR Afandi menunjukkan sisa runtuhan tembok penahan ombak. FOTO/HASSAN OMAR

“Oleh itu, kami terpaksa menutup semua 17 unit chalet kepada tetamu walaupun ada tetamu yang sanggup menginap di chalet yang agak jauh dari runtuhan itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Nor Afandi berkata, sejak sebahagian tembok dan anjung itu roboh hujung bulan lalu, mereka mengambil langkah berhati-hati setiap kali mengemaskan chalet selepas ditinggalkan tetamu.

“Bagaimanapun, sejak kejadian pagi tadi (semalam), tiada siapa dibenarkan menginap di chalet berkenaan, sebaliknya tali sudah direntangkan di lokasi kejadian bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Katanya, runtuhan itu berlaku secara beransur-ansur berikutan hakisan pantai sejak Ogos lalu dan merebak ke tembok serta anjung chalet sehingga menyebabkan kedua-dua binaan itu runtuh.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri Abdul Hakim Hamzah berkata, setakat ini tembok penahan ombak dibina hanya di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara dan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru berikutan mengalami masalah sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Disember 2019 @ 9:00 AM