AZIZAN menunjukkan lantai di kaki lima yang merekah akibat hakisan pantai di Chalet Keluarga Seri Pelangi, Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak, Masjid Tanah.
AZIZAN menunjukkan lantai di kaki lima yang merekah akibat hakisan pantai di Chalet Keluarga Seri Pelangi, Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak, Masjid Tanah.
Hassan Omar


ALOR GAJAH: “Lima minit selepas masuk ke dalam chalet, saya terdengar bunyi rekahan lantai disusuli dengan gegaran agak kuat.

“Saya mengarahkan isteri, Aisyah Dollah, 41, dan tiga anak berusia antara 12 hingga 20 tahun segera keluar dari chalet kerana bimbang keselamatan mereka,” kata Azizan Mat Ali, 42.

Dia berkata, demikian ketika menceritakan kejadian kaki lima chalet didiami bersama keluarga di Kampung Sungai Kertah, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, di sini, runtuh kesan akibat hakisan jam 10 malam kelmarin.

Katanya, dua jam sebelum kejadian dia keluar untuk memancing berhampiran unit chalet disewanya.

“Kami mendaftar masuk jam 3 petang semalam (kelmarin) sebelum beriadah dan memancing bagi menghabiskan cuti tak sangka jadi begini.

“Difahamkan ada pelanggan membatalkan tempahan kerana risau keselamatan mereka,” katanya.

Azizan berkata, sebelum mendaftar masuk pemilik chalet, Noraini Abu Bakar, 56, sudah memaklumkan mengenai masalah hakisan menyebabkan lantai anjung berhampiran tembok penahan ombak runtuh, Sabtu lalu.

Sementara itu Noraini berkata, sejak anjung berkenaan runtuh kebanyakan tetamu membatalkan tempahan.

Harian Metro semalam melaporkan hakisan pantai mengancam nelayan di pangkalan nelayan kampung berkenaan sejak sebulan lalu, merebak ke chalet itu yang jaraknya hanya kira-kira empat meter.

Sehubungan itu dia meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi membantu mengatasi masalah berkenaan, sekali gus memastikan keselamatan tetamu terpelihara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:50 AM