KEADAAN terkini Kekunang Tering Chalet di pantai Tanjung Batu yang dihakis ombak.
KEADAAN terkini Kekunang Tering Chalet di pantai Tanjung Batu yang dihakis ombak.
Oleh Mohd Rafi Mamat


Pekan: Tinggal kenangan yang begitu memilukan, hanya selepas tiga tahun beroperasi, kini pusat peranginan Kekunang Tering Chalet, Tanjung Batu, dekat sini, hampir lenyap selepas ditelan Laut China Selatan yang begitu ganas.

Episod hakisan pantai sepanjang pantai Tanjung Batu mula ketara berlaku sejak lima tahun lalu, setiap kali musim monsun selama tiga bulan bermula Disember dan fenomena air pasang besar berlaku kawasan pantai pasti berubah.

Kekunang Tering Chalet sememangnya menjadi satu tarikan unik yang jarang ada di tempat lain terutama dengan adanya sejenis serangga bercahaya dipanggil kunang-kunang diatas pokok, antara yang menjadi mangsa hakisan pantai yang hingga kini masih tidak ada jalan penyelesaian dilakukan.

Pengusaha produk pelancongan berkenaan, Izal Muddin Hassan, 50, berkata, sebelum ini kejadian hakisan pantai Tanjung Batu sudah berlaku, namun tidak terlalu ketara dalam tempoh lima tahun.

Menurutnya, sebelum ini, jarak antara pantai dengan kawasan Kekunang Tering Chalet kira-kira satu padang bola sepak, hanya dalam masa tiga tahun hampir semua kawasan seluas 0.4 hektar bertukar menjadi laut.

"Keseluruhan kawasan tanah yang dibeli dengan harga RM300,000 terletak di pesisir pantai Tanjung Batu ialah 1.2 hektar, ia dibangunkan dengan pelbagai kemudahan secara berperingkat dengan kos kira-kira RM300,000.

"Selain beberapa chalet, bangunan pentadbiran, tandas dan kedai turut disediakan kawasan letak kenderaan.

"Kini, hampir semua kemudahan itu musnah berada dalam laut," katanya, di sini.

Dia berkata, projek pelancongan itu diusahakan secara bersama dengan rakanya, Edde Firdaus Abdul Aziz, 42.

Mereka merancang untuk meletakkan Kekunang Tering Chalet sebagai produk pelancongan bertaraf antarabangsa dan usaha itu berjaya selepas tiga tahun beroperasi.

Izal Muddin berkata, disebabkan hakisan turut menyebabkan kedudukan pantai Tanjung Batu kini berada kira-kira 60 meter dari rumahnya.

Setiap kali monsun dan fenomena air pasang besar air laut sampai ke kawasan rumahnya.

Katanya, kini terdapat sembilan rumah termasuk sebuah maahad tahfiz termasuk jalan kini diancam hakisan, perasaan bimbang kini terus dirasai penduduk setiap kali bila tiba monsun dan fenomena air pasang besar.

Izal Muddin menambah, kawasan pantai Tanjung Batu hingga ke Rompin yang terbuka dikatakan antara sebab kejadian hakisan berlaku, faktor perubahan iklim dunia juga menjurus kejadian berkenaan.

"Saya difahamkan, kerja mengawal kejadian hakisan kawasan pantai Tanjung Batu akan dimulakan bulan ini oleh agensi kerajaan bertanggungjawab.

"Saya berharap projek berkenaan dapat mengawal kejadian hakisan daripada terus berlaku seterusnya menyebabkan kerugian pada penduduk setempat apabila tanah mereka berada dalam laut," katanya.

Tinjauan di beberapa kawasan pantai di daerah ini mendapati banyak kejadian hakisan berlaku yang menyebabkan banyak pokok tumbang dan kerosakan harta benda.

Kejadian hakisan pantai turut menimbulkan kesulitan pada nelayan pantai di Kampung Tanjung Batu apabila mereka sukar untuk keluar ke laut dan masuk ke pengkalan berikutan laut menjadi cetek dan perubahan muara dan laluan bot.

Empat tahun lalu sebuah rumah penduduk di Kampung Nenasi Pantai di sini mengalami kerosakan pada bahagian dapur berikutan ombak besar yang berlaku pada waktu malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2022 @ 8:10 AM