Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Nerus: Masalah hakisan pantai yang berlaku di sekitar daerah ini setiap kali musim tengkujuh kembali menghantui penduduk terutama di Kampung Mengabang Telipot dan Kampung Pengkalan Maras di sini.

Sebelum ini, hakisan itu menjejaskan Pantai Tok Jembal, pantai di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Kampung Tengah, Kampung Kolam dan Kampung Tanjung Gelam, namun ia mula merebak sehingga Kampung Mengabang Telipot dan Kampung Pengkalan Maras.

Terbaharu, sebuah jentolak yang sedang melakukan kerja mengalih paip di kawasan berkenaan turut terdampar berikutan fenomena air pasang.

Peniaga, Salbiah Kadir, 54, berkata, dia dihantui kebimbangan dengan hakisan pantai setiap kali musim tengkujuh.

"Jika dahulu, jarak kedai dengan pantai kira-kira satu kilometer tetapi sekarang hanya tiga meter.

"Kami di sini runsing setiap kali tiba musim tengkujuh apatah lagi melihat ombak yang tinggi dan bunyi ombak yang kuat terutama pada waktu malam.

"Jika masalah ini tidak diselesaikan segera, saya bimbang kedai ini turut dibadai ombak," katanya.

Pesara tentera, Zul Alias, 58, pula berharap kerajaan dapat mengatasi isu hakisan dengan segera memandangkan ia sudah berlarutan hampir 10 tahun.

Katanya, langkah kerajaan menambak kawasan pantai yang terhakis dengan batu dilihat tidak begitu berkesan apabila hakisan masih berlaku.

"Pembinaan benteng pemecah ombak idea yang bagus namun kita sedar ia memerlukan kos yang tinggi.

"Selain itu, saya berpendapat mungkin pihak berkaitan boleh membuat pulau tiruan atau lagun seperti yang ada di Tok Jembal.

"Kita tahu apa yang berlaku ini lumrah alam namun kami penduduk di sini berharap isu hakisan pantai ini diselesaikan segera," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2020 @ 4:29 PM
KEADAAN hakisan pantai yang berlaku di Kampung Pengkalan Maras. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
KEADAAN hakisan pantai yang berlaku di Kampung Pengkalan Maras. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY