BANJIR di bandar Kota Tinggi. FOTO NSTP
BANJIR di bandar Kota Tinggi. FOTO NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning dengan hujan lebat dijangka berlaku di beberapa kawasan di Kelantan, Sabah dan Terengganu hingga Rabu, 6 Januari 2021.

Daerah di Terengganu yang diletakkan amaran cuaca waspada ialah Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Marang manakala daerah di Sabah membabitkan Sandakan, Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Kudat.

Selain itu, Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon berkata, pihaknya meramalkan mulai hari ini dan esok keadaan cuaca bertambah baik di kebanyakan negeri seperti Johor dan Pahang.

"Kita tak jangka hujan yang signifikan hingga menyebabkan banjir kecuali Kelantan dan Terengganu mungkin masih ada hujan. Tetapi tidaklah lebat hingga menyebabkan banjir yang besar dalam tempoh dua tiga hari ini.

"Malah, kita jangka mulai hari ini dan esok keadaan cuaca bertambah baik di kebanyakan negeri. Seperti Johor dan Pahang pun hari ini kurang hujan. Cuma kalau ada hujan sebelah pagi di kawasan pantai, kemudian kawasan pedalaman lewat petang hari ini ada hujan sekejap tetapi tidak membawa kepada banjir yang besar.

"Bagaimanapun amaran kuning atau pun waspada masih kekal di Kelantan dan Terengganu buat masa ini. Sebabnya masih ada hujan di negeri berkenaan walaupun tak berapa lebat, Sabah pun sama, tetapi kita tak jangka berlakunya banjir yang besar," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, di Johor biasanya banjir akan berlarutan dalam tempoh lama yang dipanggil 'banjir termenung' sebab kawasannya mendatar sekali gus menyebabkan air nak surut keluar lebih lambat walaupun tidak hujan.

Tetapi, katanya, MetMalaysia menjangkakan banjir di Johor akan mulai surut sebab tidak berlaku hujan luar biasa.

"Kemungkinan besar, banjir di Pahang dan Johor akan surut. Begitu juga kalau kita tengok di Terengganu pun dah tutup semua pusat bilik gerakan. Bagaimanapun monsun timur laut belum berakhir

biasanya untuk Semenanjung Malaysia, monsun timur laut akan berakhir sekitar pertengahan atau hujung Januari, jadi kemungkinan untuk berlaku hujan masih ada.

"Ini terutama di Johor dan Pahang, namun bukan dalam tempoh terdekat ini. Tetapi selepas ini, biasanya Januari membawa ke Februari, monsun timur laut akan bergerak ke Sarawak dan Sabah pula. Biasanya Sarawak akan kena dahulu, mengalami hujan dan banjir, bagaimanapun kita juga tidak meramalkan banjir yang besar di Sarawak tahun ini," katanya.

Apa pun, katanya, MetMalaysia meramalkan cuaca di kawasan Johor dan Pahang akan bertambah baik menjelang esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2021 @ 3:59 PM