TUAN IBRAHIM TUAN MAN
TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan cuaca di Semenanjung bertambah baik dan berkemungkinan banjir monsun akan berakhir.

Bagaimanapun, Metmalaysia berpendapat banjir sedia ada mungkin mengambil sedikit masa untuk surut sepenuhnya memandangkan air pasang besar akan berlaku esok dan ombak besar dijangka berterusan di Laut China Selatan untuk beberapa hari lagi.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, di utara Sabah pula, keadaan cuaca buruk dijangka akan berterusan sehingga hari ini, manakala, di Sarawak cuaca lembap akan berterusan sehingga Februari.

"Hujan sederhana lebat dijangka berlaku pada 14 dan 15 Januari di bahagian barat Sarawak. Selain itu, MetMalaysia juga menjangkakan kejadian hujan lebat berkemungkinan akan berlaku di Sarawak pada 18 dan 19 Januari.

"Bagaimanapun, ia masih dalam pemerhatian dan MetMalaysia akan mengeluarkan amaran yang bersesuaian apabila perlu. Saya menyeru orang ramai sentiasa mengambil serius setiap maklumat yang dikeluarkan dan mengambil langkah berjaga-jaga seperti bersedia untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu mengenai banjir di negara ini, Tuan Ibrahim berkata, sebanyak 320 kejadian banjir direkodkan dari November 2020 hingga Januari ini.

Memperincikan mengenai jumlah banjir yang direkodkan itu, Tuan Ibrahim berkata, sebanyak 171 kejadian banjir direkodkan pada November lalu, 80 pada Disember dan 69 pada Januari ini.

"Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) sudah diaktifkan sepenuhnya bagi melaksanakan operasi pemantauan hujan dan paras air sungai secara berterusan selama 24 jam sehari.

"Menurut MetMalaysia, dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang sudah bermula pada 11 November lalu, beberapa episod hujan lebat berlaku terutama di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

"PRABN sudah mengeluarkan sebanyak sembilan hebahan Amaran Banjir dan 104 bagi hebahan Amaran Ramalan Aras Air sejak operasi banjir MTL 2020/2021 diaktifkan.

"Maklumat ini turut diselaraskan dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri dan semua agensi yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 January 2021 @ 11:49 AM