GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan, negara akan mengalami ribut petir dan hujan lebat yang lebih kerap pada petang dan awal malam ketika fasa peralihan monsun bermula hujung September hingga pertengahan atau hujung Oktober ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia Muhammad Helmi Abdullah berkata, ia disebabkan oleh atmosfera yang tidak stabil sekali gus meningkatkan aktiviti perolakan dan membawa lebih banyak hujan khususnya di pantai barat Semenanjung, barat Sarawak dan barat Sabah pada sebelah petang serta awal malam.

"Jangkaan jumlah hujan di negeri Pantai Timur semasa peralihan monsun pada Oktober ini ialah antara 200 hingga 400 milimeter (mm)," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, MetMalaysia turut menjangkakan empat hingga enam episod hujan lebat akan berlaku sepanjang Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh yang akan bermula pada awal November ini hingga Mac tahun hadapan.

Beliau berkata, sepanjang Monsun Timur Laut, Kelantan dan Terengganu dijangka menerima hujan sedikit di atas paras purata pada November dan Disember manakala tempat lain dijangka menerima hujan pada paras purata.

Menurutnya, musim tengkujuh itu dijangka akan membawa lebih banyak hujan di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada November hingga Disember manakala Johor, Sabah dan Sarawak pada Disember hingga Januari tahun hadapan.

"Jangkaan jumlah hujan tertinggi semasa Monsun Timur Laut 2021/2022 di Pantai Timur adalah pada November dan Disember ini.

"Pada November ini, taburan hujan yang dijangkakan ialah melebihi 600mm di Kelantan dan Terengganu, manakala 200 hingga 400mm di Pahang.

"Jangkaan jumlah hujan bulanan pada Disember ini masih melebihi 600mm di Kelantan dan Terengganu serta 300 hingga 600mm di Pahang," katanya.

Muhammad Helmi menasihati penduduk di kawasan rendah dan biasa dinaiki air supaya lebih waspada apabila berlaku hujan lebat.

Penduduk juga diminta sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan amaran dan ramalan cuaca melalui laman web, media sosial MetMalaysia, talian 1-300-22-1638 serta aplikasi myCuaca.

"Orang ramai juga dinasihati menyimpan dokumen penting di tempat yang selamat dan mudah diambil apabila berlaku kejadian buruk serta segera berpindah ke pusat pemindahan disediakan apabila diarahkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 September 2021 @ 5:15 PM