Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang memperkemaskan kriteria bagi mengasingkan individu yang positif Covid-19 tahap satu dan dua untuk kuarantin di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini perkembangan kes harian menunjukkan kes tahap satu dan dua ialah 89 hingga 90 peratus.

"Kita akan lihat kriteria dan memperkemaskannya bagi melihat kes ini untuk dikuarantin dan diasingkan di rumah, mereka ini adalah tidak mempunyai gejala.

"Ketika ini berlaku kelewatan petugas kesihatan untuk membawa kes positif susulan pertambahan kes harian yang tinggi, kita mempunyai kemampuan yang terhad yang mana hari ini kadar kebolehjangkitan adalah 22,000 dan kemampuan kita adalah 23,000," katanya pada sidang media, hari ini.

Mengulas berhubung tempoh kuarantin yang dipendekkan dari 14 hari ke 10 hari, Dr Noor Hisham berkata, banyak negara sudah menggunapakai kaedah berkenaan.

"Kebanyakan kes dikesan positif adalah dari hari ketiga hingga kelima, banyak negara juga sudah memendekkan tempoh kuarantin berkenaan ada juga yang memendekkan kuarantin sehingga tujuh hari.

"Bagi varian baru yang dikesan, tidak ada laporan yang mengatakan tempoh inkubasi adalah 21 hari, namun jika itu berlaku hari ke-10 kuarantin boleh mengesan virus berkenaan," katanya.

Mengulas berhubung pesakit yang didiscaj tanpa melakukan saringan kedua, Dr Noor Hisham berkata, ia berikutan kadar kebolehjangkitan adalah sudah berkurangan.

DR NOOR Hisham ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
DR NOOR Hisham ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH

"Kalau kita lihat perkembangan iaitu dari hari pertama Covid-19 dikenal pasti, kita menjalankan dua saringan, saringan mesti negatif dua kali iaitu dalam tempoh 72 jam dan perlu kuarantin lebih dari 14 hari.

"Namun kini berdasarkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) kita sudah boleh benarkan pesakit di discaj tanpa saringan kedua ia kerana kadar kebolehjangkitan sudah berkurangan atau sudah tiada," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2021 @ 8:20 PM