SAIFULAMIRULLAH didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas 116 pertuduhan pecah amanah bernilai lebih RM364.000. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
SAIFULAMIRULLAH didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas 116 pertuduhan pecah amanah bernilai lebih RM364.000. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Seorang penolong pengurus cawangan pasar raya milik sebuah koperasi didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas 116 pertuduhan pecah amanah membabitkan nilai lebih RM364,000.

Tertuduh, Saifulamirullah Saudi, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh sebagai seorang penolong pengurus cawangan pasar raya koperasi di Pasir Tumboh, di sini yang diamanahkan untuk mendepositkan wang hasil jualan harian berjumlah RM364,913.50 ke dalam akaun bank majikannya atas nama koperasi berkenaan.

Saifulamirullah didakwa melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan curangnya menyalahgunakan harta terbabit dengan tidak mendepositkan keseluruhan wang itu.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh bermula pada 9 Oktober tahun lalu sehingga 5 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Abu Arsalnaa Zainal Abidin dan Mohd Faizuan Sulaiman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Proses pendakwaan berlangsung selama tiga jam dan mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan.

Mahkamah menetapkan 31 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2020 @ 5:30 PM