BEKAS kerani akaun, Najwati Azni Ashaari dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu terhadap tuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat kosmetik dan memperdaya pemiliknya. Foto STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR
BEKAS kerani akaun, Najwati Azni Ashaari dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu terhadap tuduhan melakukan pecah amanah wang syarikat kosmetik dan memperdaya pemiliknya. Foto STR/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Muhamaad Razis Ismail


BEKAS kerani akaun didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, atas tuduhan pecah amanah wang syarikat kosmetik dan memperdaya pemiliknya.

Najwati Azni Ashaari, 41, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang diamanahkan mendepositkan wang hasil jualan didakwa melakukan pecah amanah berjumlah RM119,459.39 yang dipertanggungjawabkan kepadanya di sebuah syarikat kosmetik di sini antara 28 April 2017 hingga 12 Jun 2018.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun serta sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh secara tidak jujur memperdaya pemilik syarikat kosmetik berusia 33 tahun dengan menyembunyikan transaksi melalui cek syarikat berjumlah RM35,759.30 yang dipindahkan ke dalam akaun Maybank miliknya di lokasi sama pada 27 Ogos 2017 hingga 1 Februari 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norazlinawati Mohd Arshad tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun tertuduh merayu dikenakan jaminan kerana perlu menyara empat anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 September ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 4:09 PM