RAMLI keluar dari Mahkamah Majistret selepas dijatuhi hukuman penjara. FOTO Nazirul Roselan
RAMLI keluar dari Mahkamah Majistret selepas dijatuhi hukuman penjara. FOTO Nazirul Roselan
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah


Temerloh: Seorang pekerja pembersihan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas 10 pertuduhan menipu lima individu dan pecah amanah berhubung penjualan kereta dan lori terpakai membabitkan nilai RM45, 966 antara 2013 dan 2014.

Majistret Najwa Hashim menjatuhkan hukuman itu terhadap Ramli Amat, 56 dan memerintahkan hukuman berjalan mulai tarikh tangkap tertuduh pada 10 Oktober lalu.

Mengikut sembilan pertuduhan, Ramli yang ketika itu berkerja di Koperasi Kereta Sewa Jerantut Bhd didakwa memperdayakan lima individu berhubung pembelian kereta dan lori terpakai sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang deposit dan untuk membaiki kenderaan berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi di bandar ini antara 4 November 2013 dan 9 Oktober lalu.

Bagi setiap pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa atas tuduhan melakukan pecah amanah wang pembayaran ansurans pembelian lori muatan tiga tan di pejabat koperasi itu di Batu 3 Jalan Temerloh-Mentakab di sini, jam 10.30 malam, pada 11 Julai 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Najwa menjatuhkan hukuman penjara antara 14 bulan dan 40 bulan bagi setiap pertuduhan tetapi memerintahkan ia berjalan secara serentak.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:24 PM