Anggota bomba memadam kebakaran di Kampung Tandong, Jalan Datuk Stephen Yong di Kuching, tengah hari ini. Foto Norsyazwani Nasri
Anggota bomba memadam kebakaran di Kampung Tandong, Jalan Datuk Stephen Yong di Kuching, tengah hari ini. Foto Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri

Kuching: Kanak-kanak perempuan berusia empat tahun melecur di tangan ketika menyelamatkan diri dalam kebakaran stor yang dijadikan kediaman pekerja di Kampung Tandong, Jalan Datuk Stephen Yong di sini, tengah hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang Raffy Saibi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran itu pada 12.37 tengah hari.

"Sepasukan pegawai dan anggota BBP Batu Lintang dengan sebuah jentera memadam serta kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

"Kebakaran itu membabitkan stor yang dijadikan tempat tinggal pekerja yang dianggarkan terbakar 25 peratus ketika pihak bomba tiba di lokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebakaran itu juga menyebabkan seorang kanan-kanak perempuan melecur sedikit di bahagian tangan ketika menyelamatkan diri.

"Kanak-kanak terbabit kemudiannya dirawat oleh pasukan EMRS dan dalam keadaan stabil," katanya.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada 1.05 tengah hari dan dipadam sepenuhnya pada 1.25 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 4:22 PM