Petugas memeriksa katil di PKRC MAEPS 2.0. Foto Ihsan KKM
Petugas memeriksa katil di PKRC MAEPS 2.0. Foto Ihsan KKM
Nor Haidya Syafira Amir

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menambah 3,032 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan) Datuk Dr Rohaizat Yon berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah katil di PKRC ketika ini sebanyak 6,132.

"Kapasiti katil akan terus dipertingkatkan sehingga 10,000 mengikut keperluan semasa.

"Peningkatan kapasiti katil di PKRC MAEPS 2.0 fasa kedua melalui pembukaan dewan baru ini diperlukan kerana pertambahan kes positif Covid-19 yang berterusan," katanya dalam perkongsian di Facebook KKM hari ini.

Selain itu, usaha ini adalah sebagai salah satu langkah proaktif KKM bagi memastikan kesiapsiagaan hospital sentiasa berada di tahap optimum.

"Pengoperasian PKRC MAEPS 2.0 di bawah kawalan Ketua Komander Wilayah Tengah iaitu Pengarah Kesihatan Negeri Selangor," katanya.

Menurutnya, kewujudan PKRC MAEPS 2.0 adalah hasil persetujuan sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan satu kolaborasi yang dipengerusikan bersama oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Dr Rohaizat berkata, agensi lain yang terbabit dalam usaha kolaborasi itu termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

"Agensi lain termasuk Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan MAEPS sendiri," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2020 @ 5:24 PM