ANGGOTA ATM ketika persiapan mendirikan 'ICU medan' di Hospital Kepala Batas, semalam. ATM menggunakan empat kontena yang boleh menempatkan 12 katil ICU dan beberapa khemah bagi menempatkan 15 katil pesakit Covid-19. FOTO Danial Saad
ANGGOTA ATM ketika persiapan mendirikan 'ICU medan' di Hospital Kepala Batas, semalam. ATM menggunakan empat kontena yang boleh menempatkan 12 katil ICU dan beberapa khemah bagi menempatkan 15 katil pesakit Covid-19. FOTO Danial Saad
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Pembinaan hospital medan di perkarangan Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selesai semalam dan dijangka beroperasi secara berperingkat tidak lama lagi.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, hospital medan menggunakan konsep modular itu mampu merawat sehingga 27 pesakit kritikal Covid-19 yang memerlukan bantuan pernafasan serta peralatan 'life support' (sokongan hidup) lain.

"Selain itu, makmal modular dan unit radiologi modular turut didirikan bagi memberikan kemudahan perkhidmatan sokongan klinikal.

"Sebagai permulaan, seorang pakar anestesiologi dan rawatan rapi, dua orang pegawai perubatan dan 14 orang jururawat terlatih dalam rawatan rapi akan memulakan tugas.

"Kekuatan tenaga kerja daripada pelbagai kategori ini akan dipertingkatkan lagi mengikut keperluan dari semasa ke semasa," katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.

KKM berkata, Bahagian Perkhidmatan Kesihatan (BPK) ATM juga sudah mendirikan hospital medan untuk pesakit bukan Covid di Tawau, Sabah; serta hospital sementara Covid-19 di Penjara Pokok Sena, Kedah dan terkini di Kapit, Sarawak.

Selain itu, ATM memainkan peranan penting dalam membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan KKM bagi menjayakan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS dan PKRC MAEPS 2.0 yang mampu menampung sehingga 8,000 katil bagi merawat pesakit Covid-19 di Lembah Klang.

"Kolaborasi antara agensi sebegini sentiasa dialu-alukan dalam usaha kita sebagai satu pasukan memerangi pandemik Covid-19.

"Semoga segala usaha ini dapat membantu dalam memastikan rawatan yang terbaik diberikan kepada pesakit terutamanya yang kritikal dan seterusnya mengurangkan kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Mei 2021 @ 1:06 PM