Saipul Adli Mohamad; Mahaizura Abd Malik dan Rosyahaida Abdullah


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah MAEPS (PKRC) Serdang akan menamatkan operasinya pada 15 Julai ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menyaksikan proses pesakit terakhir didiscaj hari ini daripada PKRC Serdang.

Beliau berkata, idea penubuhannya diilhamkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai salah satu langkah proaktif kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19 di negara ini.

"Ia mula beroperasi secara rasmi pada 16 April lalu dan menerima pesakit pertama pada 21 April.

"PKRC Serdang adalah kolaborasi pelbagai agensi diterajui KKM dan membabitkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Selain itu, ia membabitkan Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Penjara Malaysia, Malaysia Genome Institute dan MAEPS," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, sehingga 10 Julai, PKRC Serdang merawat seramai 1,362 orang pesakit dengan majoriti adalah bukan warganegara iaitu 86 peratus dan 14 peratus adalah warganegara Malaysia.

Menurutnya, KKM mengucapkan terima kasih kepada semua barisan hadapan daripada semua agensi terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan pelaksanaan operasi pusat berkenaan.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, sistem survelan klinikal seperti pengesanan kes 'severe acute respiratory infection' SARI) di hospital berjaya mengesan dua kes positif Covid-19 yang juga warganegara Malaysia.

""Sehingga 10 Julai, sebanyak 20,897 sampel diambil dan sebanyak 79 kes positif Covid-19 didapati positif.

"Kadar positif ini adalah kurang daripada satu peratus bermakna kebolehjangkitan adalah rendah di Malaysia. Meskipun rendah, sistem survelan di Malaysia masih dapat mengesan kes ini kerana ia mempunyai kapasiti dan kapabiliti pengesanan yang baik," katanya.

Beliau berkata, petugas kesihatan di sektor awam dan swasta akan terus diberi latihan dan maklumat terkini untuk mengesan serta mengurus kes disyaki Covid-19 misalnya Influenza Like Illness (ILI) dan SARI mengikut garis panduan terkini dibangunkan daripada maklumat terkini pelbagai sumber antarabangsa dan tempatan untuk kegunaan di dalam Malaysia.

DR Adham (kanan) bersama pesakit terakhir dibenarkan discaj dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS, Serdang, hari ini. FOTO ihsan Facebook Datuk Seri Dr Adham Baba.
DR Adham (kanan) bersama pesakit terakhir dibenarkan discaj dari Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS, Serdang, hari ini. FOTO ihsan Facebook Datuk Seri Dr Adham Baba.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Julai 2020 @ 5:52 PM