Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Kerajaan mengaktifkan Pusat Kuarantin Dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang 2.0 (PKRC Maeps 2.0) hari ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat kerajaan berikutan peningkatan kes Covid-19 dengan mendadak membabitkan warga asing dan pelaksanaan program saringan pekerja asing Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menurutnya, skop operasi kali ini akan membabitkan pesakit Covid-19 kategori tanpa gejala dan kategori bergejala ringan yang membabitkan bukan warganegara.

"PKRC Maeps 2.0 ini membabitkan tiga fasa yang menyediakan 10,000 katil untuk kegunaan rawatan berbanding 604 katil sebelum ini.

"Memandangkan PKRC Maeps 2.0 akan menempatkan warganegara asing dalam jumlah kapasiti yang tinggi, aspek keselamatan akan dipertingkatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya dalam sidang media harian Covid-19, hari ini.

ISMAIL SABRI YAAKOB
ISMAIL SABRI YAAKOB

Dalam fasa pertama, PKRC Maeps ini beroperasi bermula 16 April hingga 15 Julai lalu untuk merawat 1,362 pesakit majoritinya warga asing.

Dalam perkembangan berasingan, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini turut mendengar pembentangan MKN Selangor untuk melaksanakan saringan secara bersasar dan berskala besar di Central Spectrum (Sektor A), Pulau Indah.

"Dianggarkan saringan ini akan membabitkan 45 syarikat, 102 premis dengan seramai 1,200 penghuni yang majoritinya adalah warganegara asing.

"Sektor A diberi keutamaan kerana majoriti kes direkodkan di kawasan berkenaan manakala sektor lain mengikut keperluan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 6:56 PM