BADRULHADZA (tengah) melihat tanaman bunga di tepi sawah.
BADRULHADZA (tengah) melihat tanaman bunga di tepi sawah.
BADRULHADZA (tiga dari kiri) dan Syaliza Hanom (dua dari kanan) bersama pegawai IADA Barat Laut Selangor dan MARDI di hadapan projek kejuruteraan ekologi di Sungai Haji Dorani.
BADRULHADZA (tiga dari kiri) dan Syaliza Hanom (dua dari kanan) bersama pegawai IADA Barat Laut Selangor dan MARDI di hadapan projek kejuruteraan ekologi di Sungai Haji Dorani.
SERANGAN serangga perosak.
SERANGAN serangga perosak.
Mohamad Hussin

Amalan kejuruteraan ekologi adalah satu alternatif yang boleh diguna pakai dalam menguruskan serangga perosak secara mesra alam di kawasan pertanian seperti sawah padi.

Konsep ini membabitkan amalan kultura seperti pengurusan vegetasi secara manipulasi habitat yang berfungsi menggalakkan aktiviti kawalan serangga perosak secara biologi.

Menerusi amalan ini, aktiviti spesies musuh semula jadi dapat ditingkatkan dengan menyediakan sumber seperti makanan alternatif apabila mangsa atau perumah tiada.

Penanaman spesies tumbuhan berbunga yang kaya nektar turut berfungsi sebagai tempat berlindung dan membiak untuk pelbagai spesies musuh semula jadi terdiri daripada serangga pemangsa dan parasitoid.

Amalan ini sudah lama diperkenalkan di China dan negara ASEAN seperti Myanmar, Vietnam, Thailand serta Indonesia.

Ia terbukti dapat meningkatkan kepelbagaian artropod di kawasan sawah padi terutama spesies musuh semula jadi yang secara tidak langsung menyumbang dalam mengurangkan kadar serangan serangga perosak seperti benah perang, ulat gulung daun dan ulat pengorek batang.

Di samping itu, kadar penggunaan racun serangga kimia juga menurun dan kelestarian ekosistem sawah padi dapat dipelihara dan dipulihara.

Justeru, Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Barat Laut Selangor dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalankan projek kejuruteraan ekologi dalam meningkatkan kepelbagaian artropod dalam ekosistem padi.

Saintis Kanan, Pusat Penyelidikan Tanaman dan Sains Tanah MARDI Badrulhadza Amzah berkata, kajian ini dimulakan pada musim luar 2016 membabitkan kawasan sawah seluas dua hektar.

Beliau berkata, dalam kajian ini, perbandingan populasi artoropod antara plot kejuruteraan ekologi dan plot amalan biasa petani yang melaksanakan semburan racun serangga dilakukan.

“Plot kejuruteraan ekologi sudah ditanam dengan beberapa spesies tumbuhan Turnera atau nama tempatannya bunga pukul delapan di sekeliling batas petak berkenaan.

“Antara spesies yang ditanam ialah Turnera subulata (bunga berwarna putih) dan T. trioniflora (bunga berwarna kuning). Pensampelan serangga dibuat menerusi beberapa kaedah seperti pengecaman visual, penggunaan jaring sapuan, perangkap lekat dan perangkap bekas.

“Hasil pemerhatian menunjukkan plot kejuruteraan ekologi boleh menampung lebih banyak artropod berdasarkan bilangan dan kepelbagaian spesies serta pengiraan indeks berbanding plot amalan biasa petani,” katanya selepas ditemui di kawasan sawah sekitar Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor, baru-baru ini. Hadir sama, Pegawai Pertanian IADA Barat Laut Selangor, Syaliza Hanom Zakaria.

Badrulhadza berkata, prinsip kejuruteraan ekologi adalah sebahagian daripada komponen pengurusan perosak bersepadu (IPM) iaitu penggunaan agen kawalan biologi yang mesra alam.

“Ia memperkenalkan elemen seperti rekaan landskap dengan penggunaan tanaman berbunga yang kaya nektar sebagai perumah kepada serangga bermanfaat dalam ekosistem padi.

“Penanaman pokok bunga Turnera mampu menyediakan habitat alternatif kepada spesies musuh semula jadi untuk membiak seterusnya secara tidak langsung dapat mengawal serangga perosak yang ada dalam sawah di persekitaran.

“Pengurusan perosak menerusi kaedah kejuruteraan ekologi ini mempunyai potensi besar untuk diamalkan di sawah di Malaysia,” katanya.

Menurutnya, kajian menyeluruh perlu dijalankan pada masa hadapan untuk mengukuhkan bukti dan meyakinkan pesawah padi bahawa kaedah ini mampu mengurangkan masalah serangan perosak.

“Ia sekali gus bermanfaat dari segi kelestarian alam sekitar dan kesihatan manusia,” katanya.

Sementara itu, Syaliza Hanom berkata, peningkatan hasil padi menerusi kaedah kejuruteraan ekologi dapat meningkatkan pengeluaran hasil padi yang berkualiti dan selamat dimakan.

Beliau berkata, ia dapat meningkatkan keuntungan petani menerusi peningkatan hasil dan pengurangan kos pengeluaran termasuk mengurangkan penggunaan racun perosak yang tidak terkawal.

“Mewujudkan kelestarian dan persekitaran sawah yang ceria, indah dan sejahtera menerusi penyusunan semula landskap sawah yang terancang dan mempelbagaikan aktiviti ekonomi berasaskan kepelbagaian bio seperti aktiviti pelancongan agro, inap desa serta pengeluaran produk organik,” katanya.

Petani, Mohd Yatim Basri, 64, berkata, sejak IADA dan MARDI memperkenalkan kaedah kejuruteraan ekologi ini, hasil pengeluaran padinya semakin meningkat.

“Kaedah tanaman bunga ini untuk menarik perhatian serangga bermanfaat yang umum seperti lebah, labah-labah dan kumbang kura-kura.

“Sementara tanaman pokok ini juga boleh menarik perhatian serangga musuh khusus kepada perosak padi seperti benah perang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Februari 2018 @ 11:44 AM