DR Suzana menunjukkan hasil kajian projek kepada wakil Elsevier Chemistry Journal, Rob Van Daalen.
DR Suzana menunjukkan hasil kajian projek kepada wakil Elsevier Chemistry Journal, Rob Van Daalen.

Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) menghasilkan inovasi racun berasaskan organik bagi mengatasi masalah serangan serangga perosak sekali gus meningkatkan hasil padi.

Projek kolaborasi UTP membabitkan kerjasama Jabatan Pertanian Daerah Perak Tengah dan BioX Sdn Bhd berjaya membuktikan racun organik yang diekstrak daripada daun ‘neem’ lebih selamat dan berkesan bagi meningkatkan hasil padi.

Ketua Penyelidik dari Jabatan Kejuruteraan Kimia UTP Prof Dr Suzana Yusup berkata, projek itu menjalankan kajian mengenai keberkesanan racun organik yang berasaskan daun neem dan campuran beberapa tumbuhan pada tanaman padi.

Beliau berkata, hasil kajian berjaya membuktikan peningkatan hasil padi walaupun berhadapan cabaran cuaca dan masalah pengairan.

“Selain meningkatkan hasil padi, racun organik juga berjaya mengurangi serangan serangga perosak seperti bena perang dan kesing sekali gus mengurangi penyakit pada tanaman padi.

“Selain mendedahkan pelajar UTP pada kaedah penanaman padi, projek ini juga sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UTP,” katanya.

Dr Suzana berkata, antara aktiviti yang dijalankan adalah menuai padi bagi memberi pendedahan kepada pelajar antarabangsa dan tempatan UTP mengenai teknik menuai.

“Projek ini turut mengadakan sesi bersama petani bagi memberi pendedahan teknik penggunaan racun yang selamat dan teratur.

“Saya turut berkongsi hasil kajian yang dijalankan kepada petani untuk mengalakkan penggunaan racun organik pada tanaman padi,” katanya.

Menurutnya, projek penyelidikan ini yang dijalankan 2015 dapat membantu petani mengatasi masalah serangan serangga perosak.

“Projek yang dinamakan ‘Biopesticide for Improvement of Paddy Yield’ sudah berjaya memenangi tempat kedua kertas cadangan terbaik di antara 500 pesaing seluruh dunia.

“Anugerah itu sempena Pertandingan Elsevier Foundation Green and Sustainable Chemistry Challenge di Berlin, Jerman, Mei tahun lalu,” katanya. -Mohamad Hussin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 1:57 PM