MOHD Misbahul (kanan) meninjau tanah jerlus di Parit Abas. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
MOHD Misbahul (kanan) meninjau tanah jerlus di Parit Abas. FOTO Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Parit Buntar: Malang berganda bagi lebih 1,000 pesawah di daerah ini, kerana bukan sahaja berdepan masalah tanah jerlus untuk kali kedua, malah tanaman padi yang diusahakan turut diserang tikus dan penyakit padi.

Lebih membebankan pesawah apabila padi yang sudah masak kini mula mereput akibat tidak dapat dituai.

Pesawah, Mohd Shaiful Ahmed, 40, berkata musim padi kali ini adalah mimpi ngeri pesawah di daerah ini apabila hampir setiap kawasan di beberapa mukim di Parit Buntar tidak dapat dituai akibat tanah jerlus.

"Tidak cukup dengan itu padi yang tinggal pula, ringan dan cegat akibat serangan pelbagai penyakit padi seperti karah padi (BLB) dan reput tangkai.

"Lebih teruk, pesawah turut terbeban hutang dengan broker," katanya ditemui media di Parit Abas,Kuala Kurau, di sini, hari ini.

Turut hadir meninjau masalah pesawah, Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki dan Pegawai Pertanian Kerian, Ridhuan Othman.

Mohd Shaiful berkata, dia yang mengusahakan lima hektar sawah padi terjejas teruk musim ini kerana hasil padi yang diperoleh tidak mampu melangsaikan hutang benih dan jentera pembajak.

"Kebiasaan saya boleh dapat sekitar 30 tan metrik, namun musim ini dapat enam tan padi sahaja.

"Jika dikira saya masih berhutang lagi dengan pengilang dan tak mampu langsung membayar duit benih dan upah jentera pembajak berjumlah hampir RM 10,000," katanya.

Menurutnya hampir dua hektar petak sawah padinya diserang tikus manakala selebihnya menjadi ringan akibat penyakit padi.

Sementara itu Ridhuan berkata, sehingga kini siasatan mendapati lebih 30 peratus sawah padi di Kerian diserang haiwan perosak itu.

"Serangan tikus ini tidak termasuk dalam kategori bencana dan pihak Jabatan Pertanian sudah kempen kawalan peringkat awal serta mengedarkan umpan dan racun kepada pesawah secara berkelompok.

"Menyedari masalah tikus ini, kita turut membina 50 rumah burung pungguk untuk kawalan biologi," katanya.

Mohd Misbahul Munir pula berkata pihaknya menggesa menteri atau timbalannya agar turun melihat kesusahan yang dialami pesawah di Kerian.

Menurutnya, kerajaan perlu segera mencari solusi terbaik terhadap tanah jerlus yang difahamkan memasuki musim kedua.

"Sudah dua musim musim pesawah terkesan dan terus menerus menanggung hutang akibat tidak mendapat hasil yang sepatutnya.

"Kementerian ada mencadangkan supaya merehatkan tanah sawah di sini selama satu atau dua musim, namun siapa yang nak tanggung kos sara hidup pesawah jika dilaksanakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 9:50 PM