Tanah lembut di daerah Kerian sukarkan pesawah ambil hasil padi. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Tanah lembut di daerah Kerian sukarkan pesawah ambil hasil padi. FOTO SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Kerian: Jabatan Pertanian mengesahkan sebanyak 595 hektar sawah padi di daerah Kerian tidak dapat dapat dituai musim ini akibat masalah tanah lembut.

Pegawai Pertanian Daerah Kerian, Riduan Othman, berkata pihaknya mendapati mukim Kuala Kurau adalah yang paling banyak terjejas iaitu 256 hektar diikuti Parit Buntar 198 hektar.

Menurutnya hasil perbincangan, beberapa langkah dikenal pasti bagi memulihkan semula keadaan tanah sawah disini.

"Keadaan ini berlaku disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika tiba musim menuai.

"Antara langkah drastik yang perlu dilakukan pesawah adalah penyelenggaraan sistem perparitan di dalam dan di luar lot dalam kadar segera agar air dapat dikeringkan sepenuhnya apabila musim menuai.

"Kita turut mencadangkan penggunaan jentera pembajak dan jentuai yang lebih kecil sesuai dengan keadaan tanah," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan pesawah di kawasan Kuala Kurau, mengeluh kerana sawah padi yang diusahakan tidak dapat dituai kerana tanah lembut.

Pesawah dilaporkan menanggung kerugian 'besar' akibat padi mereka tidak dapat diambil jentera pembajak selain terpaksa menggunakan kaedah tradisional bagi mengutip padi mereka yang kian mereput.

Sementara itu pesawah, Mohd Naim Firdaus Osman, 31, berkata dia yang mengusahakan lebih tiga hektar sawah padi pada musim ini terpaksa berputih mata melihat hasil tanamannya mereput tidak dapat dituai.

Menurutnya dia terpaksa mengeluarkan kos tinggi bagi mengupah penduduk untuk mengutip hasil padinya.

"Dalam keadaan sekarang kita upah RM 100 sehari pun mereka tak mahu. Jadi terpaksa bahagi dengan penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 3:31 PM