Warganegara Indonesia yang diberkas pihak polis di lokasi berbeza di sekitar Kampong Buso, Bau. FOTO Norsyazwani Nasri
Warganegara Indonesia yang diberkas pihak polis di lokasi berbeza di sekitar Kampong Buso, Bau. FOTO Norsyazwani Nasri
Norsyazwani Nasri


Bau: Tiga lelaki warga tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes penyeludupan tujuh warganegara Indonesia ditahan pihak polis di lokasi berbeza di sekitar Kampong Buso, di sini, semalam.

Ketiga-tiga suspek berusia 26, 28 dan 30 itu di siasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, tangkapan ketiga-tiga suspek itu susulan daripada penahanan tujuh warga Indonesia di sebuah rumah di Jalan Buan Buso, di sini, Jumaat lalu.

"Ketujuh-tujuh warga Indonesia itu ditangkap sekitar jam 11 pagi melalui serbuan yang dijalankan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau di lokasi terbabit.

"Semua warga asing terbabit ditahan mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kes itu masih lagi dalam siasatan pihak polis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 1:58 PM