Kuching: Sejumlah Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) di Bau, Padawan dan Serian, dikenal pasti terjejas teruk akibat banjir selain dijadikan pusat pemindahan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri Datuk Fatimah Abdullah berkata, pihaknya memantau rapi perkara itu bagi memastikan keadaan sekolah terbabit boleh dibuka untuk sesi pembelajaran.

“Setakat jam 5 petang tadi (semalam), sejumlah 20 SK dan SMK di Bau, Padawan dan Serian terjejas akibat banjir, sama ada dinaiki air atau terputus hubungan disebabkan laluan utama ke sekolah ditenggelami air.

“Selain itu, kita dimaklumkan enam sekolah dijadikan pusat pemindahan iaitu SK St Peter, SK George dan SMK Batu Kawa di Padawan, manakala SK Tanah Merah dan SMK Tebakang bagi daerah Serian, selain SK Siniawan di Bau,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sejumlah 12 sekolah rendah dan sekolah menengah di Padawan yang terjejas akibat banjir membabitkan SK Batu Kitang, SK Rantau Panjang, SK Patung, SK Landeh, SK St Augustine, SK St Patrick, SK St Dunstan, SK St Matthew, SK St Gile, SK St Swithun, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Batu Kitang dan SMK Tun Abdul Razak.

Di Bau pula, enam sekolah iaitu SK Buso, SK Tembawang, SK Suba Buan, SK Segong, SJKC Chung Hua Siniawan, SJKC Chung Hua Kranji dan SMK Bau, manakala sebuah sekolah di Serian turut terjejas membabitkan SK St Teresa.

Fatimah yang bertanggungjawab dalam portfolio pendidikan negeri berkata, keputusan untuk menutup sekolah yang terjejas masih belum dibuat sehingga mendapat laporan penuh daripada pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang terbabit.

“Penutupan ini (sekolah) perlu dibuat oleh guru besar dan pengetua dengan melaporkan kepada PPD sama ada ia akan dibuka atau sebaliknya untuk sesi persekolahan esok (hari ini).

“Ia bergantung dengan keadaan banjir di kawasan mereka dan keputusan berhubung penutupan itu akan dibuat menjelang malam ini (malam semalam),” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, keadaan banjir yang melanda beberapa bahagian di negeri ini semakin buruk dengan menyaksikan peningkatan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan.

“Keadaan hujan yang berterusan sejak dua hari lalu menyebabkan paras air sungai meningkat, selain fenomena air pasang besar hari ini (semalam) yang merekodkan bacaan 5.7 meter.

“Jumlah mangsa banjir dan pusat pemindahan, terutama di kawasan tebing Sungai Sarawak dijangka terus meningkat berikutan air sungai semakin meningkat,” katanya.

Sehingga jam 6 petang semalam, seramai 5,362 mangsa terdiri daripada 1,470 keluarga dipindahkan ke 31 pusat pemindahan di ketiga-tiga bahagian membabitkan Kuching, Serian dan Kota Samarahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Februari 2016 @ 8:23 AM
PENDUDUK menaiki sampan ke Pusat Pemindahan Banjir Dewan Batu Kitang.
PENDUDUK menaiki sampan ke Pusat Pemindahan Banjir Dewan Batu Kitang.