POLIS melakukan pemeriksaan di lokasi serbuan. FOTO Ihsan PDRM
POLIS melakukan pemeriksaan di lokasi serbuan. FOTO Ihsan PDRM
Melvin Joni


Bau: Empat lelaki dan dua wanita ditangkap kerana menjalankan kegiatan 'bookie' bola sepak Euro 2020 dan pusat panggilan judi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Bau Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, mereka terdiri daripada tiga lelaki tempatan, seorang wanita tempatan, serta seorang lelaki dan wanita warga Indonesia.

"Kesemua suspek ditangkap dalam Ops Soga yang dijalankan oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau, 5.15 petang semalam di sebuah premis di Taman Senggi PH 1, Tafosak, di sini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Poge berkata, pasukan serbuan turut merampas enam unit set komputer, seunit komputer riba, sembilan unit telefon bimbit dan dua unit modem.

Katanya, semakan mendapati kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 27 tahun tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Bau untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 selain Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 9:31 AM