EMPAT lelaki yang ditahan polis. FOTO ihsan polis
EMPAT lelaki yang ditahan polis. FOTO ihsan polis
Zuliaty Zulkiffli


Pendang: Tindakan empat lelaki termasuk seorang tokan dadah menyewa bilik inap desa di Kampung Titi Akar, Jalan Sungai Tiang, di sini, untuk membungkus dadah gagal apabila lokasi itu diserbu polis, semalam.

Dalam kejadian 11.55 malam itu, mereka yang berusia sekitar 20-an ditahan anggota Balai Polis Sungai Tiang berdasarkan maklumat awam yang diperolehi.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, anggotanya mendapati empat lelaki berada di belakang inap desa berkenaan.

"Hasil pemeriksaan menemui satu paket plastik lut sinar yang di dalamnya mengandungi serbuk dan ketulan disyaki heroin dianggarkan seberat 28.76 gram di kaki lima tempat keempat-empat suspek berada.

"Turut ditemui satu paket plastik lut sinar di dalamnya mengandungi hablur jernih disyaki syabu anggaran berat 4.73 gram," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, keempat-empat suspek turut mengaku menyewa bilik di inap desa itu untuk membungkus serta menghisap dadah.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif methampetamine.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12 (2) ADB 1952.

"Selain itu, polis turut mengesan individu yang disyaki terbabit sama dalam kegiatan itu di kawasan Sungai Tiang dan orang awam yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Disember 2020 @ 10:49 AM