FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Omar Ahmad


Johor Bahru: Polis Johor menahan 10 ahli kongsi gelap Ngo Seik Kee atau lima 'colour' dalam serbuan di Bakri, Muar tengah malam tadi susulan kes bunuh penarik kereta Ahad lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, tangkapan yang dilakukan Pasukan khas Bahagian Siasatan Khas Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor pada jam 12.15 tengah malam bagi membantu siasatan kes berkenaan. Katanya, semua lelaki tempatan berusia 17 hingga 31 tahun itu ditahan susulan pendedahan dua suspek yang ditahan di lokasi ketika kejadian.

"Hasil siasatan mendapati motif kes ini adalah berkaitan rasa tidak puas hati pembayaran kenderaan yang dibeli dan lari daripada pihak bank.

"Setakat ini keseluruhan 12 ahli geng kongsi gelap Ngo Seik Kee ditangkap. Kami juga sedang mengesan beberapa lagi yang masih bebas.

"Polis percaya kes ini dapat diselesaikan dengan tangkapan semua suspek terbabit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ayob Khan, hasil semakan juga mendapati semua tangkapan mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan dadah dan jenayah.

Ayob Khan turut menasihatkan orang ramai tidak terbabit dengan tawaran pembelian kenderaan murah yang mempunyai masalah bayaran kepada pihak bank oleh pihak tertentu.

"Ini kerana kenderaan murah ini kebiasaannya mempunyai kaitan dengan aktiviti untuk mendapatkan perlindungan daripada kongsi gelap," katanya.

Kesemua suspek akan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut.

Ahad lalu, seorang lelaki yang ditemui mati dalam longkang di Kilometer 40.1 Lebuhraya PLUS berhampiran Sedenak, dipercayai diserang oleh sekumpulan individu tidak dikenali.

Mangsa lelaki warga tempatan, 34, difahamkan bekerja sebagai penarik kereta ditemui mati dalam keadaan beberapa tetakan dan kecederaan di bahagian kepala dan anggota badan yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2020 @ 5:38 PM