Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Polis giat mengesan ketua geng kongsi gelap berusia 36 tahun yang masih bebas, susulan dipercayai terbabit dengan kes bunuh seorang penarik kereta di Kilometer 40.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, pada 20 Disember lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, lelaki tempatan, Tan Kim Boon, dari geng Ngo Seik Kee (5 Colour), menggunakan alamat terakhirnya di Jalan Putih, Taman Bukit Pasir, Batu Pahat.

Katanya, selain terbabit dengan dadah, geng kongsi gelap itu turut terbabit dalam kegiatan menarik kenderaan.

"Geng penarik kereta ini akan tarik kenderaan yang gagal membayar ansuran bulanan kepada bank, tapi tidak serahkan kepada bank, sebaliknya menjual kenderaan itu pada harga lebih murah.

"Kenderaan itu juga dilekatkan dengan pelekat kereta sebagai tanda perlindungan geng berkenaan yang membolehkan kereta itu bergerak di negeri ini dan tidak boleh keluar kawasan.

"Punca pergaduhan apabila mangsa yang juga ahli geng kongsi gelap dari Selangor datang menarik sebuah kereta Toyota Velfire di sini. Ini boleh dikatakan pergaduhan antara geng kongsi gelap kerana masuk kawasan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Terdahulu, pada 20 Disember lalu, seorang penarik kereta yang dikenali sebagai Ram ditemukan mati di dalam longkang di Kilometer 40.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Sedenak, Kulai dekat sini.

Mangsa berusia 34 tahun itu ditemukan meninggal dunia dalam keadaan terbaring dengan beberapa tetakan dan kecederaan pada anggota badan serta kepala.

Susulan kejadian berkenaan, beliau berkata, polis Johor menahan seramai 12 lelaki tempatan berusia 17 hingga 31 tahun yang menganggotai kongsi gelap Ngo Seik Kee (5 colour), bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ayob Khan menunjukkan gambar anggota kumpulan kongsi gelap yang terbabit dalam kes bunuh. FOTO Zain Ahmed
Ayob Khan menunjukkan gambar anggota kumpulan kongsi gelap yang terbabit dalam kes bunuh. FOTO Zain Ahmed

"Lima individu sudah dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan bersama seorang yang masih bebas semalam di Mahkamah Majistret Kulai, dekat sini.

"Kegiatan menjual kereta tarik ini bukanlah perkara baharu. Pembeli kenderaan juga perlu membayar kira-kira RM100 sebulan sebagai duit perlindungan kepada geng kongsi gelap berkenaan supaya kereta mereka tidak ditarik kumpulan penarik kenderaan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2020 @ 1:53 PM