AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
AYOB KHAN MYDIN PITCHAY
Essa Abu Yamin


Kluang: Polis Johor mempertahankan tindakan anggotanya yang menembak mati empat penjenayah yang terbabit dalam kes samun di Jalan Pagoh-Parit Sulong, Batu Pahat awal pagi Jumaat lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, anggotanya melakukan demikian dalam usaha mempertahankan diri selepas suspek melepaskan tembakan dan menyerang seorang pegawai dengan kerambit.

Katanya, semua pihak berhak memberikan pendapat mengenai tindakan polis itu, namun polis berhak melakukan tindakan itu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP).

"Polis masih menjalankan siasatan susulan berhubung kes dan saya akan keluarkan satu laporan yang lengkap.

"Memang benar pihak NGO (pertubuhan bukan kerajaan) ada hak mereka seperti rakyat Malaysia yang lain ada hak mengeluarkan pandangan dan pendapat.

"Kita bekerja mengikut SOP mungkin NGO terbabit tidak baca secara menyeluruh kenyataan dikeluarkan sama ada secara lisan atau bertulis, pihak polis lepaskan tembakan kerana mereka melepaskan tembakan terlebih dahulu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penghormatan Terakhir kepada mendiang Lans Koperal Bradford Bernard yang meninggal dunia selepas dirempuh pemandu mabuk di Jalan Kluang - Teck Wah Heng di sini kelmarin.

Terdahulu, sebuah NGO menggesa Ayob Khan merujuk semula Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) mengenai SOP melepaskan tembakan ketika menahan suspek.

Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) mempersoalkan adakah tindak balas polis menembak empat suspek samun sehingga mati bersesuaian dengan SOP ditetapkan apabila berdepan serangan penjenayah.

Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor dan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Batu Pahat menahan dua kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

Sebaik polis merapati untuk melakukan pemeriksaan, secara tiba-tiba penumpang di dalam Toyota Avanza bertindak agresif dan pemandu mengeluarkan sepucuk pistol dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah polis.

Pada masa sama, penumpang Toyota Avanza serta pemandu dan penumpang Perodua Myvi cuba melarikan diri.

Berlaku pergelutan ketika suspek ditahan dan suspek menyerang polis dengan parang dan kerambit menyebabkan polis melepas tembakan.

Seorang suspek melibas seorang pegawai polis dengan kerambit sehingga cedera ringan di bahagian tangan.

Siasatan lanjut mendapati kereta Perodua Myvi yang dirampas dilaporkan hilang di kawasan Desa Cemerlang, Tebrau.

Polis percaya kumpulan berkenaan aktif melakukan samun dan pecah masuk premis pejabat dan kilang di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 5:48 PM