Omar Ahmad


Johor Bahru: Kegiatan sebuah makmal memproses dadah jenis heroin berjaya dibongkar dalam serbuan di sekitar kawasan perumahan berpagar dan berpengawal di Iskandar Puteri pada jam 2 petang, 23 Mac lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dalam serbuan itu, lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan bersama sejumlah rampasan dadah dan peralatan memproses heroin.

Katanya, modus operandi kegiatan sindiket dadah ini adalah menyewa rumah jenis berpagar dan berpengawal untuk dijadikan makmal memproses dadah.

"Polis merampas 57.83 kilogram heroin, 4.53 kilogram base dan 77.70 kilogram kafein bernilai RM1.089 juta.

"Turut dirampas barang memproses dadah antaranya ketuhar, kuali, besen, pewarna makanan dan senduk pelbagai jenis.

"Lelaki yang ditahan ini juga bertindak sebagai pakar kimia dan penghantar dengan gaji RM10,000 sebulan.

"Hasil tangkapan itu, polis menahan dua wanita berusia 34 dan 35 tahun di Temerloh, Pahang dan Batu Gajah, Perak, sehari selepas serbuan dijalankan.

"Hasil saringan urin mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, hari ini.

Dalam serbuan itu, polis menyita lima kenderaan, sebuah motosikal, wang tunai RM16,430, pelbagai jenis barangan kemas, 25 jam tangan dan 15 akaun bank dengan nilai keseluruhan RM1.1 juta.

Menurutnya, dua wanita terbabit adalah isteri dua lagi suspek yang dicari polis berkaitan kes makmal dadah itu.

Katanya, dua suspek itu ialah P Ram Kumar, 37, beralamat terakhir di Taman Bestari dan K Suresh, 41, yang tinggal di Taman Perling, di sini.

DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan dadah heroin yang telah diproses hasil serbuan sebuah makmal memproses dadah heroin di Iskandar Puteri. FOTO Omar Ahmad
DATUK Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan dadah heroin yang telah diproses hasil serbuan sebuah makmal memproses dadah heroin di Iskandar Puteri. FOTO Omar Ahmad

"Ram Kumar adalah suami kepada wanita yang ditahan berusia 34 tahun manakala Suresh suami kepada wanita berusia 35 tahun. Suresh adalah ahli kongsi gelap kumpulan 36.

"Sekarang ini trend macam itu, kebanyakan gengster yang kita sudah tangkap di bawah jenayah terancang dahulu tetapi dibebaskan selepas dipinda pertuduhan atas Akta Pertubuhan. Inilah mereka aktif semula dengan dadah kumpulan 36.

"Kita percaya hasil dadah yang diproses itu untuk pasaran negeri ini dengan anggaran boleh digunakan seramai 189,530 penagih," katanya.

Ayob berkata, semua suspek direman tujuh hari sehingga 31 Mac ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 2:44 PM