Jururawat dan Doktor. FOTO arkib NSTP
Jururawat dan Doktor. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Jururawat antara petugas kesihatan yang mendapat jangkitan Covid-19 tertinggi iaitu 690 kes sejak bermulanya pandemik itu di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu pegawai perubatan pula mencatatkan 211 kes, pembantu perawatan kesihatan (146 kes), pembantu pegawai perubatan (144 kes) dan pegawai perubatan siswazah mencatatkan 84 kes.

"Secara kumulatif terdapat 1,771 kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan setakat 18 November lalu.

"Sebanyak 1,359 atau 76.7 peratus kes berlaku ketika gelombang ketiga pandemik Covid-19 termasuk 43 kes baharu yang dilaporkan pada hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan pihaknya mendapati 587 petugas kesihatan dan perubatan mendapat jangkitan daripada komuniti dan 565 kes berlaku antara petugas kesihatan.

"Selain itu, 152 kes mendapat jangkitan berkaitan dengan pesakit yang masih belum disahkan mendapat jangkitan Covid-19, 58 kes tidak diketahui punca dan 409 kes lagi punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.

Noor Hisham berkata, seramai 280 petugas sedang menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil dengan kadar sembuh 84.2 peratus setakat hari ini.

"Seramai 1,697 petugas kesihatan di seluruh negara sedang menjalani Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO) sama ada di tempat kediaman atau di stesen kuarantin.

"Hospital di Lembah Klang melaporkan kes jangkitan Covid-19 tertinggi adalah Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang (54 kes), Hospital Serdang (29 kes), Hospital Sungai Buloh (15 kes), Hospital Kuala Lumpur (10 kes), Hospital Ampang (5 kes) dan Hospital Selayang (4 kes)," katanya.

Menurutnya, peningkatan kes yang mendadak dalam kalangan petugas kesihatan di Lembah Klang dipercayai berkait rapat dengan peningkatan kes dalam kalangan komuniti.

"Situasi seumpama ini iaitu peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan petugas kesihatan pernah dialami di Sabah ketika peningkatan penularan jangkitan wabak ini dalam kalangan komuniti berlaku di sana.

"Bagaimanapun, kes di kesemua hospital terbabit masih dalam keadaan terkawal dan perkhidmatan kesihatan masih lagi diteruskan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 7:42 PM