GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Negara terus mencatatkan trend penurunan kes baharu Covid-19 selama tiga hari berturut-turut apabila sebanyak 10,002 kes dilaporkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu itu membabitkan 9,904 kes penularan tempatan dengan 98 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Perkembangan ini sekali gus menjadikan sehingga kini terdapat sebanyak 4,256,469 individu sudah dijangkiti virus berkenaan di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menerusi laman rasmi COVIDNOW, sehingga kini terdapat sebanyak 179,619 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini dan daripada jumlah berkenaan, sebanyak 175,339 kes sedang menjalani kuarantin wajib di rumah.

Selebihnya, sebanyak 3,622 kes sedang mendapatkan rawatan di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) (422), Unit Rawatan Rapi (ICU) memerlukan alat bantuan pernafasan (140) dan ICU serta tidak memerlukan alat bantuan pernafasan (96).

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu yang dikesan sebanyak 54.94 peratus atau 5,495 kes adalah pesakit Covid-19 dalam kategori satu.

"Ia diikuti pesakit Covid-19 dalam kategori dua (4,418 kes), kategori empat (33 kes), kategori tiga (30 kes) dan kategori lima (26 kes).

"Secara keseluruhannya, daripada 89 kes dalam kategori tiga hingga lima itu, sebanyak 60 kes membabitkan individu mempunyai komorbid.

"Selain itu sebanyak 51 kes adalah membabitkan pesakit Covid-19 berusia 60 tahun ke atas, sudah menerima dua dos vaksin (34 kes), tidak divaksin atau lengkap vaksin (31 kes) dan sudah menerima dos penggalak (24 kes)," katanya.

Menurutnya, jumlah kluster yang masih aktif di negara ini kekal pada 173 kluster kerana tiada pertambahan kluster baharu setakat semalam.

Sementara itu, mengenai kes kematian yang dilaporkan, data COVIDNOW menunjukkan sebanyak 28 kes korban direkodkan menjadikan sehingga kini sebanyak 35,127 kematian akibat jangkitan berkenaan.

Angka korban yang dilaporkan itu termasuklah tujuh kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Kes kematian tertinggi direkodkan di Perak dan Selangor iaitu masing-masing melaporkan enam kes, ia diikuti Johor (lima), Pulau Pinang (empat), Negeri Sembilan (tiga), Pahang (dua) serta masing-masing satu kes di Kedah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2022 @ 12:19 PM