Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kes baharu Covid-19 dalam negara masih kekal lima angka iaitu 11,994 kes dilaporkan setakat semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu itu membabitkan 11,969 kes penularan tempatan dengan 25 kes lagi adalah import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

"Perkembangan ini sekali gus menjadikan sehingga kini terdapat sebanyak 4,292,585 individu sudah dijangkiti virus berkenaan di negara ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah kes baharu yang dikesan semalam sebanyak 54.27 peratus atau 6,509 kes adalah pesakit Covid-19 dalam kategori satu.

"Ia diikuti pesakit Covid-19 dalam kategori dua (5,395 kes), kategori tiga (40 kes), kategori empat (22 kes) dan kategori lima (28 kes).

"Secara keseluruhannya, daripada 90 kes dalam kategori tiga hingga lima itu, sebanyak 58 kes membabitkan individu mempunyai komorbid.

"Selain itu sebanyak 53 kes adalah membabitkan pesakit Covid-19 berusia 60 tahun ke atas, sudah menerima dua dos vaksin (30 kes), tidak divaksin atau lengkap vaksin (24 kes) dan sudah menerima dos penggalak (36 kes)," katanya.

Menurutnya, jumlah kluster yang masih aktif di negara ini merekodkan 151 kluster dengan penambahan empat kluster baharu setakat semalam.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, hanya Selangor mencatatkan pengisian katil kes kritikal atau unit rawatan rapi (ICU) melebihi 50 peratus iaitu 53 peratus dicatatkan di negeri itu.

"Bagi pengisian katil bukan ICU melebihi 50 peratus, hanya dua negeri iaitu Putrajaya (58 peratus) dan Selangor (52 peratus).

"Pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) menurun kepada 108 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 12 peratus," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 11:41 AM