Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Kegiatan licik pemandu bas ekspres bersama anak lelakinya dan seorang rakan membuat penghantaran daun ketum terbongkar apabila mereka ditahan di Terminal Bas Shahab Perdana, di sini, malam semalam.

Dalam serbuan pada 8.30 malam, sepasukan polis menemui daun ketum seberat 572 kilogram (kg) bernilai RM5,000 itu disorokkan di tempat letak barang bas berkenaan dipercayai cuba dibawa ke selatan tanah air.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, berdasarkan maklumat, polis melakukan pemeriksaan ke atas bas berkenaan ketika sedang menunggu penumpang untuk bertolak ke Melaka dan Johor Bahru pada 9 malam.

"Hasil pemeriksaan dilakukan menemui tujuh beg kanvas coklat, dua beg kanvas merah, satu beg kanvas hitam dan satu beg kanvas hijau serta lapan beg plastik hitam di bawah 'perut' bas berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati setiap beg berkenaan mengandungi daun ketum yang diikat dengan getah berjumlah keseluruhan 2,149 ikatan dan seberat 572 kg," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, hari ini.

Ahmad Shukri berkata, modus operandi yang digunakan mereka adalah membawa daun ketum berkenaan dari Kuala Nerang di Padang Terap untuk dihantar ke pasaran selatan terutama di Melaka dan Johor.

Beliau berkata, pemandu bas berusia 51 tahun, anaknya berusia 26 tahun dipercayai pemandu bas kedua dan rakan mereka berusia 27 tahun ditahan untuk siasatan.

ASISTEN Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir (duduk) menunjukkan beg kanvas yang mengandungi daun ketum yang ditemui di bawah tempat letak barang sebuah bas ekpres dan menahan tiga lelaki termasuk dua beranak. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ASISTEN Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir (duduk) menunjukkan beg kanvas yang mengandungi daun ketum yang ditemui di bawah tempat letak barang sebuah bas ekpres dan menahan tiga lelaki termasuk dua beranak. FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Siasatan awal mendapati mereka dipercayai aktif melakukan kegiatan menghantar daun ketum menggunakan bas ekspres sejak Mac lalu.

"Ketiga-tiga suspek terbabit direman empat hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.

Katanya, saringan ujian air kencing terhadap mereka didapati negatif dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 7:34 PM